BARISAN model Honda CB500 dengan ciri dipertingkatkan
BARISAN model Honda CB500 dengan ciri dipertingkatkan
Lizam Ridzuan


SELEPAS diperkenalkan pada 2013 ke dalam pasaran global sebagai motosikal dalam segmen saiz pertengahan ringan, CBR500R, CB500F dan CB500X tampil dengan edisi baharu 2019. Model-model itu sesuai sebagai pilihan buat mereka yang mahu menaik taraf daripada motosikal berkuasa lebih rendah ke berkapasiti lebih besar bagi memenuhi gaya tunggangan serta pengalaman menunggang baharu.

Boon Siew Honda yang juga pengedar, pemasang serta pengimport motosikal jenama Honda di negara ini, melancarkan model berkenaan ke pasaran tempatan baru-baru ini dengan ciri baru yang lebih menarik.

CBR500R adalah model ‘sports bike’ fairing penuh dengan reka bentuk lebih agresif dan dwi-lampu hadapan LED.

Paparan meter LCD baharu dengan memaparkan kedudukan gear dan indikasi Shift Up, lampu membelok LED, ekzos serta injap pemasaan memberikan kuasa dan tork tahap pertengahan tambahan sebanyak empat peratus untuk bunyi yang lebih sporty.

CB500F pula ialah model ‘sport roadster’ ‘naked’ yang bergaya ringkas serta jentera ringan namun casisnya sporty untuk keseronokan menunggang.

Pemegang yang tirus menambah ciri kawalan yang baru sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar atau hujung minggu dengan padanan enjin dwi-silider dibangunkan daripada konsep model CBR1000RR Fireblade.

Model pengembaraan CB500X bukan sahaja ideal bagi kegunaan harian malah boleh digunakan untuk menjelajah pada hujung minggu.

Tampil dengan gaya lebih lasak melalui peningkatan pada prestasi enjin selain teknikal.

Fork hadapan dengan ‘travel’ lebih panjang, rim hadapan 19 inci (17 inci sebelum ini) rekaan baharu, pelindung angin lebih tinggi serta posisi menunggang yang ergonomik untuk kawalan lebih baik ketika melalui jalan lasak antara kelebihan model baharu ini.

Trio CB ini dijana enjin 471 cc DOHC, silinder berkembar selari yang menjana 50 hp pada 8,500 rpm dengan tork 45Nm pada 6,500 rpm untuk kelancaran kuasa pada pelbagai kelajuan.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Keiichi Yasuda.

Untuk pasaran Malaysia, CBR500R dijual pada harga RM34,499, CB500F (RM33,999) dan CB500X (RM36,099) dengan dua tahun jaminan pengeluar atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:01 AM