Lizam Ridzuan


KUASA enjin yang seimbang dengan pengendalian mantap untuk melalui pelbagai permukaan jalan adalah ciri utama motosikal dalam segmen ‘Adventure’ ini.

BMW F 850 GS baharu yang diperkenalkan pada hujung tahun lalu adalah barisan terkini jentera saiz pertengahan untuk keluarga model GS yang ada di pasaran.

VROOM Metro Ahad mengujinya baru-baru ini bagi menilai prestasi serta teknologi termaju dilengkapi pada motosikal berkenaan.

Melihat pada reka bentuk, ia kini sudah semakin hampir menyamai ‘abangnya’ daripada model R 1200 dan 1250 GS, terutama pada bahagian hadapan.

Lampu LED asimetrik dengan nyalaan siang serta elemen ‘flyline’ signatur GS menyerlahkan lagi gaya maskulin serta mudah dilihat dari jauh sesuai bagi tujuan pengembaraan dan mempertingkat ciri keselamatan.

Jika dilihat dari hadapan, ramai yang beranggapan ia model berkuasa lebih tinggi dengan ‘paruh’ dan tangki yang diperbaharui tampak lebar. Ia seterusnya mengurangkan sudut tajam dan menambah keselesaan ketika menempuhi laluan lasak.

Posisi menunggang yang menegak, gagang yang tidak terlalu lebar selain pelana penunggang 860 milimeter (mm) serta pembonceng yang boleh disesuaikan mengikut ketinggian (sebagai opsyen) adalah antara elemen ergonomik yang diperbaharui.

Warna Rallye Putih serta corak merah dan biru metalik selain grafik tulisan GS dengan sentuhan emas pada rim adalah padanan yang menarik perhatian.

Pelindung tangan pada pemegang serta rel pautan pembonceng yang turut boleh difungsikan bagi meletak kotak barangan adalah ciri standard bagi kemudahan buat mereka yang merancang melakukan perjalanan jauh.

Namun, pada firasat penulis, cermin pelindung anginnya terlalu kecil bagi motosikal segmen ini. Bagaimanapun BMW Motorrad menawarkan pilihan lain sebagai aksesori tulen buat pembeli.

FUNGSI punat untuk tatapan menu meter.
FUNGSI punat untuk tatapan menu meter.

Paling mencuri tumpuan ialah panel meter TFT 6.5 inci yang jelas serta boleh dilaras dengan pantas mengikut keperluan maklumat yang perlu ketika menunggang.

Padanan ciri termaju itu juga boleh disambungkan ke telefon pintar menggunakan Bluetooth untuk navigasi serta pelbagai ciri lain melalui aplikasi BMW Motorrad Connected.

Punat pada gagang sebelah kiri yang boleh diputar memudahkan carian maklumat walaupun ketika penulis sedang menunggang.

Ia juga menempatkan fungsi menu, lampu isyarat, lampu pancaran serta kecemasan dan suis Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Untuk prestasi, F 850 GS dijana enjin serba baharu 853cc DOHC silinder berkembar selari dengan 95 kuasa kuda (hp) pada 8,250 rpm dan tork maksimum 92 Nm pada 6,500 rpm.

‘Crankshaft’ yang diseimbangkan sekitar 90 darjah dengan selang pembakaran 270/450 darjah menghasilkan bunyi signatur BMW serta mengurangkan gegaran pada bahagian-tertentu.

Kuasa yang dialirkan sesuai buat meredah kesesakan jalan raya atau memecut di lebuh raya malah melalui laluan off-road sederhana.

Casis dan suspensi dengan gear enam kelajuan memberi talaan sesuai melalui empat mod iaitu Dynamic, Rain, Road dan Enduro untuk kestabilan serta keyakinan penunggang.

Kawalan juga kian mudah dengan klac ‘slipper’ yang memberi tenaga berterusan dan mengurangkan gangguan pertukaran gear ketika menunggang tanpa perlu rungsing kerap menarik klac.

Tayar hadapan dengan rim 21 inci dan 17 inci pada belakang dilengkapi jejari bersilang membolehkan jentera ini meredah laluan lasak dengan lebih selesa.

Fork hadapan teleskopik terbalik serta dwilengan ayun belakang aluminium dengan topang spring tengah boleh laras pula menyerap hentakan dengan baik.

PANEL meter TFT jelas.
PANEL meter TFT jelas.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat, motosikal ini pilihan ideal buat mereka yang gemar melakukan aktiviti tunggangan jarak sederhana atau jauh.

Reka bentuk yang maskulin dengan logo BMW dan GS tampil elegan menjadikan ia sesuai untuk menjalar di hutan batu atau kehijauan malah posisi ergonomik menjadikan perjalanan lebih selesa, sama ada secara solo atau berdua.

Penulis juga berkesempatan menguji motosikal ini di laluan lasak dan dengan berat motosikal 229 kilogram (berbanding 263kg untuk R 1200 GS), ia masih mudah dikawal terutama ketika tergelincir di mana fungsi Sistem Brek-Anti Kunci (ABS) boleh dimatikan untuk kepuasan menunggang di laluan lasak.

Tangki bahan api 15 liter boleh menjangkau perjalanan lebih 350 kilometer (km) melalui tunggangan secara berhemah dengan kelajuan maksimum mencecah 190 kilometer/jam (km/j).

Sistem keselamatan dengan brek cakera berkembar 305mm hadapan dengan angkup Brembo memastikan motosikal ini dapat diberhentikan dengan baik dan selamat terutama ketika kecemasan.

Untuk pasaran Malaysia, BMW F 850 GS dijual pada harga bermula RM79,500 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar dua tahun tanpa had perbatuan. #vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:30 AM
BMW F 850 GS baharu.
BMW F 850 GS baharu.