Toyota Innova Zenix baharu yang dipamerkan untuk media di Ibu Pejabat Toyota, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Toyota Innova Zenix baharu yang dipamerkan untuk media di Ibu Pejabat Toyota, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Lizam Ridzuan


SHAH ALAM: UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai pengedar utama kenderaan Toyota di negara ini memperkenalkan Toyota Innova Zenix Serba Baharu untuk pasaran tempatan.

Presidennya, Datuk Ravindran K berkata pengenalan varian tertinggi untuk kenderaan pelbagai guna (MPV) Innova itu yang ditawarkan menerusi dua varian enjin iaitu kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) sebagai kejayaan penting dalam komitmen syarikat terhadap neutral karbon.

"Menerusi pelancaran Zenix HEV Serba Baharu yang menjadi tumpuan utama sebagai model hero dalam majlis pelancaran ini, membuktikan lambang dedikasi Toyota yang tidak berbelah bahagi kepada aspek kelestarian,"

"Syarikat juga mempamerkan komitmennya untuk mencapai sasaran neutral karbon selaras matlamat Malaysia menjelang 2050 dengan pendekatan holistik untuk menangani cabaran berkaitan dan berhasrat untuk menjadi pemimpin dalam membentuk semula ekosistem mobiliti,"

"Di UMW Toyota Motor, kami berusaha untuk meluaskan sempadan teknologi dan merevolusikan ekosistem mobiliti," katanya ketika pelancaran model ini secara atas talian.

Zenix Serba Baharu dengan rekaan gaya 'crossover' yang dibina di atas platform termaju Toyota New Global Architecture (TNGA) dan menetapkan standard baharu dalam aspek kemewahan dan keselesaan Crossover segmen-C.

Selain itu ia juga tampil dengan Toyota Safety Sense 3.0 (TSS3.0) yang pertama untuk model Toyota di negara ini dengan ciri keselamatan termaju.

Ia kini dengan enjin 2.0 liter M20A Dynamic Force dengan kuasa 174PS dan tork 205Nm (ICE) dan untuk HEV dengan kuasa 186PS dan 188Nm.

Transmisi dilengkapi dengan e-CVT untuk HEV dan CVT 10 kelajuan (direct shift) untuk model ICE.

Lima pilihan warna luaran iaitu, Platinum White Pearl, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black Mica, dan Avantgarde Bronze.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Innova Zenix Serba Baharu dijual pada harga RM165,000 (2.0V) dan RM202,000 (2.0HEV) (semua harga atas jalan tanpa insurans) yang sudah boleh ditempah di kesemua pengedar sah Toyota di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 12:42 AM