Oleh Lizam Ridzuan


UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengedar utama kenderaan jenama Toyota di negara ini melancarkan model Corolla Altis Serba Baharu untuk pasaran tempatan.

Presidennya, K Ravindran berkata, model generasi ke-12 itu adalah model yang paling laris sepanjang zaman buat Toyota di 150 negara dengan lebih 46 juta unit terjual sejak diperkenalkan pada 1966.

“Dibangunkan di atas Platform Toyota New Global Architecture (TNGA) ia akan meneruskan legasi model Corolla yang juga terjual lebih 150,000 unit sejak mula dipasang di negara ini pada 1968.

“Selain rekaan lebih sporty, ia juga dilengkapi ciri prestasi, keselesaan dan bahan api efisien disasarkan buat pembeli daripada golongan pemilik perniagaan dan eksekutif,” katanya pada majlis pelancaran di Genting Highlands, hari ini.

Model ini dijana enjin 1.8 liter VVT-i berkembar serta kotak gear tujuh kelajuan Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) dengan mod pemanduan Eco dan Sport dilengkapi ‘Paddle Shifters’.

Ia turut dilengkapi ruang dalaman dengan kerusi balutan kulit, papan pemuka dengan kemasan hitam gloss dan krom, meter optitron 7 inci untuk Paparan Pelbagai Maklumat, pendingin hawa dua zon dan skrin infotainmen 6.8 inci.

Sistem keselamatan terbaik antaranya ialah tujuh beg udara SRS, Paparan Titik Buta (BSM), Perakam Video Digital hadapan dan belakang, Bantu Mula Bukit (HAC) dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC).

Model terbaharu ini ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Celestite Gray Metallic, White Pearl CS, Silver Metallic, Attitude Black dan Red Mica Metallic.

Corolla Altis Serba Baharu ini ditawarkan dengan dua varian iaitu E dan G dijual masing-masing pada harga RM128,888 dan RM136,888 melalui import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 3:12 PM
(DARI KIRI) Pengarah Pemasaran UMW Toyota Motor (UMWT), Mohd Shamsor Mohd Zain; Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama; Pengerusi UMWT, Tan Sri Datuk Sri Hamad Kama Piah dan Presiden UMWT, K Ravindran.
(DARI KIRI) Pengarah Pemasaran UMW Toyota Motor (UMWT), Mohd Shamsor Mohd Zain; Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama; Pengerusi UMWT, Tan Sri Datuk Sri Hamad Kama Piah dan Presiden UMWT, K Ravindran.