VIOS  Challenge meluncur dengan gagah.
VIOS Challenge meluncur dengan gagah.
Lizam Ridzuan


AKSI pemandu profesional, amatur dan selebriti tambah meriah dengan penganjuran Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) musim ke-5 pusingan pertama.

Berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), perlumbaan Vios Challenge mengekalkan empat kategori iaitu Kelas Sporting untuk pemandu amatur, Super Sporting untuk pemandu profesional, Rookie untuk pemandu muda dan Promotional untuk selebriti.

Musim ini, tiga pusingan perlumbaan akan diadakan yang menampilkan keistimewaan tersendiri apabila bakat-bakat baharu dan muda mula menyerlahkan prestasi masing-masing di dalam litar.

Tambah menarik, terdapat pasangan bapa dan anak (Eddie Liew dan Adele Liew) serta suami dan isteri berlumba bersama.

Ia menambahkan kehangatan saingan musim ini meskipun masih kekal tanpa kehadiran penonton.

LIPUTAN langsung dalam media sosial Toyota Malaysia.
LIPUTAN langsung dalam media sosial Toyota Malaysia.

Perlumbaan dipancarkan secara langsung menerusi semua platform laman sosial Toyota Malaysia untuk capaian tontonan lebih meluas.

Tahun ini, hadiah berjumlah RM500,000 menjadi rebutan pemandu dan pasukan bertanding termasuk RM70,000 dan RM50,000 untuk juara keseluruhan serta kelas Super Sporting juga Sporting.

Peminat juga berpeluang turut serta dalam 'Gazoo Racing Dream Team TGR Fantasy' dengan memilih tiga pemandu pilihan daripada setiap kategori kelas perlumbaan.

Pemain yang memiliki jumlah mata terbanyak akan diumumkan juara pada setiap pusingan dan akan memenangi hadiah utama pada hujung musim.

Untuk perlumbaan Vios Challenge pusingan pertama pada Race 2, kelas Super Sporting dimenangi pemandu veteran, Eddie Liew yang memulakan perlumbaan dalam kedudukan petak ke-4 namun mendahului perlumbaan sebanyak 20 pusingan sehingga tamat.

PERSAINGAN bapa dan anak.
PERSAINGAN bapa dan anak.

Saingan tempat kedua dan ketiga menyaksikan Hayden Haikal yang juga juara Race 1 bersama rakan sepasukan, Boy Wong daripada M7 Japan Project, dan Ady Rahimy(23 Motor) saling memintas namun berlaku perlanggaran dalam litar.

Kesempatan itu membolehkan Mitchell Cheah (TD Racing) muncul pada kedudukan kedua dan Freddie Ang (Telagamas Toyota) pada kedudukan ketiga, ia adalah yang kedua untuknya podium selepas Race 1 pada kedudukan kedua.

Kelas Rookie menampilkan Sharique Zulqarinain, 18, muncul podium berganda selepas meraih juara Race 2 dan kedudukan kedua dalam Race 1.

Tempat kedua milik Muizz Musyaffa dan kedudukan ketiga pula milik Muhammad Hamdany Abdul Hamid, 19, untuk Race 1 dan 2.

Kelas Sporting juga melihatkan aksi dan drama di atas litar yang akhirnya menyaksikan Bradley Benedict Anthony diumum juara.

SELEBRITI dalam Kelas Promotional.
SELEBRITI dalam Kelas Promotional.

Untuk kelas Promotional, pelakon, Shukri Yahaya mengekalkan momentum podium dengan muncul juara Race 2 dan kedua pada Race 1.

Ini diikuti selebriti Zizan Razak pada kedudukan kedua dan Nabil Ahmad di tempat ketiga.

Pusingan kedua dan ketiga TGR Musim ke-5 akan diadakan di SIC pada Jun dan September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 6:14 AM