PERLUMBAAN dalam hujan.
PERLUMBAAN dalam hujan.
Lizam Ridzuan


FESTIVAL Toyota Gazoo Racing (TGR) musim keempat untuk pusingan kedua diadakan baru-baru ini walaupun ia berlangsung dalam suasana tanpa penonton.

Mencatatkan lebih dua juta tontonan secara dalam talian menerusi laman sesawang Toyota, Facebook dan platform media sosial lain, acara kali ini diadakan dalam cuaca panas dan hujan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Berlangsung selama dua hari, seperti pusingan sebelumnya, Vios Challenge kekal sebagai tarikan utama dengan empat kategori perlumbaan iaitu Kelas Super Sporting, Sporting, Rookie dan Promotional yang membabitkan selebriti.

Edisi kali ini menampilkan empat muka baharu yang berpengalaman iaitu pelumba kereta touring, Mitchell Cheah; peserta Program Pembangunan Bakat Sepang, Ady Rahimy; juara dua kali perlumbaan Merdeka Millennium Endurance, Faidzil Alang dan juara Malaysia Championship Series (SP 2), Lau Seng Kiat.

Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama berkata, meskipun tertangguh kerana pandemik, semua pelumba bersemangat mempamerkan aksi bertenaga dan kelajuan.

"Sebagai penganjur, kini tumpuan bukan hanya untuk perlumbaan di litar, tetapi lebih kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk keselamatan dan kesihatan semua yang terbabit," katanya.

Untuk perlumbaan Kelas Super Sporting, ia membabitkan pelumba profesional tempatan dan berbeza pada hari pertama cuaca panas, cabaran hari kedua pula dalam suasana hujan dengan litar basah.

SELEBRITI berlumba dalam Kelas Promotional.
SELEBRITI berlumba dalam Kelas Promotional.

SUASANA di pit.
SUASANA di pit.

Pemandu Pasukan Projek M7 Japan, Syafiq Ali meskipun bermula daripada kedudukan petak keempat, dia berjaya mendahului perlumbaan diikuti oleh pelumba berpengalaman Faidzil Alang daripada pasukan yang sama.

Cuaca basah membuatkan perlumbaan diperlahankan seketika oleh kenderaan keselamatan untuk tiga pusingan sebelum diteruskan.

Tempat ketiga milik Hayden Haikal yang sebelum itu bermula pada kedudukan petak pertama.

Pemenang perlumbaan 1, Mitchell Cheah pula berada pada kedudukan keempat, Mark Darwin dan pendahulu juara keseluruhan Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel pada kedudukan lima serta enam.

Persaingan semakin sengit ketika Cheah semakin agresif cuba untuk mengejar Syafiq yang mendahului 2.1 saat di hadapan selepas memintas Hayden dan cuba untuk memintas Faidzil untuk tempat kedua.

Ketika litar semakin basah kerana hujan lebat, kenderaan keselamatan sekali lagi masuk pada pusingan ke-10.

Perlumbaan kemudian diteruskan menyaksikan Syafiq kekal dihadapan meskipun Cheah hampir memintas. Faidzil pula di tempat ketiga.

AKIO turut berlumba.
AKIO turut berlumba.

ANTARA pemenang podium.
ANTARA pemenang podium.

Kelas Sporting turut berlangsung dalam hujan dan pemandu pasukan Crestmax Motorsport, Adam Khalid yang memulakan perlumbaan pada kedudukan petak ke-15 muncul juara selepas menamatkan 20 pusingan.

Tempat kedua milik Mirza Syahmi Mahzan daripada pasukan Aylezo Motorsport manakala Eric Yong di kedudukan ketiga.

Kelas Rookie yang memulakan perlumbaan bersama dengan Super Sporting memperlihatkan Amer Harris yang berusia 17 tahun menempatkan diri pada kedudukan pertama diikuti Mika Hakimi dan Putera Adam yang berusia 14 tahun di tempat ketiga.

Amer menduduki tempat ke-3 pada perlumbaan pertama dan kali ini, ia adalah keputusan podium yang kedua untuknya.

Naquib Azlan gagal meneruskan kemenangan dengan menduduki tempat keempat berturut-turut diikuti Jwan Hii pada kedudukan kelima.

Untuk Kelas Promotional, pelakon, Shukri Yahaya meneruskan aksi cemerlang dengan muncul juara dengan 18 pusingan dan 7.1 saat mendahului Nabil Ahmad dan Zizan Razak.

Pusingan ketiga bakal diadakan pada 20 hingga 21 November ini yang akan diadakan pada waktu malam di SIC.

INFO

Toyota Vios dijana dengan enjin 1,496cc, 4 silinder selari, DOHC, Dwi-VVT-i, transmisi 7 kelajuan CVT, menjana kuasa 107PS dan tork 140Nm

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 6:50 AM