GAYA baharu Myvi 2022.
GAYA baharu Myvi 2022.
Lizam Ridzuan


PELANCARAN Perodua Myvi Baharu mengukuhkan kedudukan model Myvi selaku model kereta paling laris di Malaysia.

Menelan belanja RM50 juta untuk dibangunkan, model ini bukan saja dilengkapi teknologi maju malah ciri keselamatan pintar, peningkatan penjimatan bahan api dan kemasan baharu lebih sporty.

Daripada segi rekaan luaran, ia cukup kemas dan cantik.

Ia boleh dilihat menerusi rekaan bampar hadapan dan gril baharu dengan skirting kemasan perak, lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL), cermin sisi hitam selain kemasan baru pada bampar belakang.

Di bahagian kabin, sterengnya direka baharu manakala kerusi pula dibalut kulit untuk varian AV serta fabrik untuk varian lain.

CIRI praktikal.
CIRI praktikal.

Ia juga dilengkapi panel meter TFT bersaiz 4.2 inci malah ditambah dengan ciri kenderaan premium melalui visual 'selamat datang'.

Sistem infotainmen juga dipertingkatkan. Ia kini bersaiz 6.9 inci serta lebih mesra pengguna seperti yang terdapat pada model Ativa.

Antara perubahan ketara ialah pemasangan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) untuk keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

PSDA ini juga datang menerusi empat ciri utama iaitu Bantuan Pemanduan Selamat (ASA), Bantuan Pemanduan, Bantuan Letak Kenderaan dan Bantuan Lampu Utama.

KABIN serlah elemen premium.
KABIN serlah elemen premium.

Selain itu, pada varian AV, ia dilengkapi teknologi Autonomi Tahap 2. Ia julung kali disediakan untuk kereta berharga bawah RM60,000 di negara ini.

Ia juga datang antaranya dengan Kawalan Pelayaran Adiptif (ACC), Sistem Kekal Lorong (LKS) serta enam beg keselamatan.

Tidak hanya kemasan, ia juga menampilkan kotak gear baharu dengan Dwi-mod Transmisi Bolehubah Berterusan (CVT) yang menggantikan transmisi 4 kelajuan untuk semua varian.

Melalui penambahbaikan ini, ia memberi peningkatan lima peratus atau tambahan satu kilometer bagi setiap liter bahan api manakala daya pecutannya 20 peratus lebih baik.

KEMASAN sporty.
KEMASAN sporty.

Dua pilihan enjin ditawarkan. Ia membabitkan enjin 1.3 liter 94 kuasa kuda (hp) pada 6,000rpm dan tork 121Nm pada 4,000rpm serta enjin 1.5 liter 102hp pada 6,000rpm dan tork 136Nm pada 4,200rpm.

Kedua-duanya dilengkapi DOHC dwi-VVT-i.

Ia juga menampilkan pilihan warna terkini iaitu Merah Cranberry khusus untuk varian AV selain Putih Ivory, Perak Glittering, Merah Lava (tidak terdapat untuk AV), Kelabu Granite dan Biru Elektrik.

Myvi Baharu 2022 ditawarkan dengan empat pilihan varian iaitu 1.3G (tanpa PSDA), 1.3G, 1.5X. 1.5H dan 1.5AV yang dijual pada harga RM45,700, RM47,700, RM49,900, RM53,900 dan RM58,800 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:35 AM