Lizam Ridzuan


Nissan Almera Serba Baharu tampil dengan rekaan yang berbeza daripada model sebelumnya dan sarat teknologi terkini.

Tempahan juga sudah mula dibuka sebaik prebiu eksklusif media yang diadakan baru-baru oleh pengedar utama kenderaan penumpang Nissan di negara ini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Rekaan luaran model ini begitu menarik dengan ciri signatur global Nissan seperti gril hadapan V-Motion, lampu hadapan bentuk boomerang LED, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus.

Ciri sporty turut diserlahkan dengan spoiler belakang dan rim aloi 15 atau 16 inci (bergantung varian) serta bumbung berprofil rendah gaya 'terapung' pada tiang-C.

Almera Serba Baharu ini tampil dengan dimensi lebih panjang 70 milimeter (mm), lebar 45mm dan rendah 40mm daripada model generasi pertama.

ALMERA generasi kedua tampil berbeza.
ALMERA generasi kedua tampil berbeza.

REKAAN lebih sporty.
REKAAN lebih sporty.

Ruang dalaman tampil ringkas, namun terdapat elemen sporty dengan panel instrumen 'Gliding Wing' terkini, roda stereng 'flat bottom' dan kerusi 'semi-bucket' graviti sifar.

Untuk lebih santai, pemain multimedia bersaiz lapan inci disediakan.

Turut disediakan, Paparan Bantu Pemandu Termaju (ADAD) bersaiz tujuh inci dan tiga pengecas USB bagi kemudahan keseluruhan penumpang.

Antara keistimewaan lain ialah ruang kargonya yang seluas 482 liter boleh memuatkan empat beg golf selain kerusi belakang jatuhan 60:40.

Ia turut dilengkapi kemasan krom dan corak gentian karbon.

SELESA dengan ciri terkini.
SELESA dengan ciri terkini.

Ia juga dilengkapi ciri keselamatan Mobiliti Pintar Nissan dan Perlindungan Keselamatan 360 Nissan seperti beg keselamatan SRS, Kawalan Dinamik Kenderaan, Sistem Kawalan Cengkaman serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Ia dikuasakan enjin 1.0 liter pengecas turbo DOHC dengan kuasa kuda 100PS pada 5,500rpm dan tork 152Nm pada 2,400 hingga 5,000rpm.

Untuk kelancaran, transmisi X-Tronic CVT generasi seterusnya dijadikan ciri standard untuk semua varian, ia juga dilengkapi mod sport.

Meskipun dengan hamburan turbo, menerusi tangki bahan api 35 liter, ia menggunakan sekitar 18.4 kilometer (km) untuk setiap liter dan mampu menjangkau perjalanan sehingga 650km.

Ia didatangkan dengan enam pilihan warna, termasuk tiga warna baharu iaitu Merah Radiant, Oren Monarch dan Kelabu Metal Gelap selain Hitam Diamond, Putih Brilliant dan Perak Tungsten.

RUANG kabin elemen ‘Gliding Wing’.
RUANG kabin elemen ‘Gliding Wing’.

Tiga varian ditawarkan iaitu 1.0T VL, 1.0T VLP dan 1.0T VLT.

Harga jualannya dianggarkan antara RM80,000 ke RM99,999 termasuk lima tahun jaminan tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:05 AM