Lizam Ridzuan


GOLF Serba Baharu Mk8 dilancarkan.
GOLF Serba Baharu Mk8 dilancarkan.

Ia mula diperkenalkan di Pameran Motor Frankfurt pada 1974 sebagai model kompak hatchback.

Sehingga kini, lebih 35 juta unit terjual di seluruh dunia.

Selain menawarkan rekaan sporty, ia juga dipadankan dengan enjin berprestasi selain pengendalian terbaik.

Baru-baru ini, Volkswagen Golf Serba Baharu generasi ke-8 (Mk8) dilancarkan di pasaran tempatan oleh pengedar utamanya, Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Seperti sebelum ini, Golf ditawarkan menerusi tiga varian iaitu R, GTI dan R-Line dengan perbezaan kemasan dan prestasi enjin.

Melihat kepada rekaan luaran, 'hot hatch' Golf mengekalkan asas rekaan yang sama, namun diberi pembaharuan bagi menjadikannya lebih segar.

GOLF R-Line.
GOLF R-Line.

Golf R-Line

Ia adalah model permulaan untuk pasaran Golf di negara ini dengan elemen kemasan seakan-akan model varian tertinggi Golf R dilengkapi rekaan lampu utama LED cukup unik dengan pencahayaan merentasi gril hadapan.

Bukan itu saja, malah ia juga datang dengan lampu nyalaan siang.

Selain logo terkini Volkswagen, rekaan bambar model ini turut menarik perhatian dengan kemasan hitam berkilat garis mendatar.

Di bahagian belakang, ia dilengkapi kluster lampu LED dengan kemasan perumah warna gelap.

Pintu kargo dengan spoiler bersepadu menambah gaya model ini.

Ia tampil dinamik dengan padanan rim aloi 17 inci Valencia dan kemasan R-Line pada keseluruhan bahagian.

Ruang kabin pula dilengkapi papan pemuka ciri teknologi dengan kokpit digital skrin sesentuh bersaiz 10.25 inci, keterhubungan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto, roda stereng teleskopik R-Line dan fungsi arahan suara 'Hello Volkswagen'.

Selain itu, tempat duduknya dibaluti fabrik Sardegna dan Art Velours.

Ia turut dilengkapi kamera undur, tiga zon penyaman udara 'Climatronic', meter digital TFT bersaiz 10 inci yang boleh dilaras untuk paparan maklumat dan menu.

PAPAN pemuka baharu ciri digital.
PAPAN pemuka baharu ciri digital.

Model ini dijana enjin 1.4TSI pengecas turbo yang menjana 150PS pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 250Nm pada 1,500 hingga 4,000 rpm dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort serta Sport.

Ia datang dengan transmisi automatik lapan kelajuan 'shift by wire', pacuan roda hadapan serta suspensi hadapan McPherson selain Multilink untuk suspensi belakang.

Antara ciri keselamatannya ialah enam beg keselamatan, Sistem Brek Pra-Pelanggaran Automatik, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Kekunci Pembolehubah Elektronik (XDS).

R-Line didatangkan dalam lima warna termasuk dua yang baharu iaitu Kelabu Moonstone dan Merah Kings serta Biru Atlantic, Hitam Deep dan Putih Oryx.

Untuk pasaran tempatan, Volkswagen Golf Serba Baharu ditawarkan pada harga RM155,00 hingga RM165,000 yang diumumkan oleh VPCM tidak lama lagi.

GOLF GTI.
GOLF GTI.

Golf GTI

Model Golf GTI dilancarkan ketika Pameran Motor Frankfurt 1975 sebagai varian prestasi kompak.

Rekaan kekal dengan DNA asal dan sama seperti varian R-Line, ia dibezakan dengan dimensi serta jarak roda, logo GTI pada gril radiator serta bampar bercorak sarang lebah pada corong kemasukan udara.

Bukan itu saja, ia dipadankan dengan rim aloi 18 inci Richmond, ekzos krom, bampar belakang dan spoiler sisi GTI.

Kemasan ruang dalaman pula penuh dengan gaya GTI seperti lapisan penutup bumbung, pedal, roda stereng dengan butang kawalan sesentuh selain kerusi hadapan dibaluti kulit Vienna.

Papan pemuka pula dilengkapi kokpit digital 10.25 inci, roda stereng pelbagai fungsi, ciri butang sesentuh dan pemanas.

Sistem infotainmen bersaiz 10.25 inci pula menawarkan navigasi dalaman tiga dimensi.

TOMBOL gear kompak.
TOMBOL gear kompak.

Untuk prestasi, ia dibezakan dengan enjin 2.0TSI pengecas turbo suntikan terus empat silinder.

Ia mampu menjana kuasa 245PS pada 5,000 hingga 6,000rpm dan tork 370Nm pada 1,600 hingga 4,300rpm.

Melalui transmisi kotak gear tujuh kelajuan DSG, ia didatangkan dengan Pilihan Mod Pemanduan, Pengurusan Dinamik Kenderaan dengan Kawalan Casis Dinamik.

Ia juga datang dengan brek penjanaan bateri enjin, kekunci pembezaan hadapan untuk cengkaman dan pengendalian lebih baik serta suspensi sport hadapan McPherson serta suspensi belakang Multilink.

Volkswagen Golf GTI 2.0 TSI dijual pada harga RM211,689 (atas jalan tanpa insurans dan cukai jualan).

Model Golf GTI dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang dan yang pertama seumpamanya di luar Jerman serta China.

VARIAN R dengan rim 19 inci.
VARIAN R dengan rim 19 inci.

Golf R

Sebagai varian tertinggi, Golf R adalah model yang paling berprestasi untuk keluarga Volkswagen Golf dan terjual lebih 250,000 unit di seluruh dunia.

Ia menawarkan enjin 2.0TSI pengecas turbo yang menjana 320PS dan tork 400Nm pacuan semua roda 4Motion.

KERUSI sport.
KERUSI sport.

Ia juga dilengkapi ciri prestasi Performance Torque Vectoring dan Pengurusan Dinamik Kenderaan dengan DCC bagi pengendalian terbaik.

Sistem yang julung kali dipasang untuk model Volkswagen itu membantu agihan kuasa yang efisien bukan sahaja di antara gandar hadapan dan belakang, malah secara selektif pada roda belakang.

Ini membantu meningkatkan kelincahan kenderaan ini terutama ketika mengambil selekoh selain mengekalkan tenaga yang diperlukan untuk lebih responsif.

Reka bentuk keseluruhannya sama dengan varian R-Line dan GTI.

Cuma yang berbeza ialah pada jarak roda dan dimensi, kemasan bampar hadapan dan padanan rim aloi Adelaide 19 inci.

MEDIA menguji model Golf di atas litar.
MEDIA menguji model Golf di atas litar.

Ruang dalaman dengan ciri sama dengan dua varian lain, namun diserlahkan dengan 10 pembesar suara 480W Harman Kardon Premium.

Sistem keselamatan ditambah dengan Bantuan Sisi dengan Amaran Trafik Melintas Belakang.

Kokpit digital meliputi ciri data-data seperti output, kuasa, agihan tork, tekanan caj, 'lap timer' dan G-meter yang boleh dilihat pada masa sebenar.

Jentera ini hadir dalam tiga warna iaitu warna signatur Biru Lapiz, Hitam Deep dan Putih Pure White.

Volkswagen Golf R serba baharu adalah model import sepenuhnya (CBU) dan ditawarkan pada harga RM356,412 (atas jalan tanpa insurans dan cukai jualan).

Ia hadir bersama penyelenggaraan percuma tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan jalanan lima tahun.

Secara keseluruhan, menerusi pandu uji Golf R-Line dan GTI di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang disediakan oleh VPCM, penulis dapat rasakan perbezaan prestasi kedua-dua model itu.

Untuk Golf R-Line, sebaik memasuki ruang kabin, antara yang menarik pada pandangan penulis ialah papan pemuka berciri digital penuh selain tombol gear yang kecil, namun mudah untuk digunakan.

Selesai dua pusingan separuh litar SIC, penulis semua kembali ke 'paddock' untuk menukar ke model Golf GTI yang menawarkan lebih prestasi dan kemantapan pengendalian menerusi suspensi sport.

Ia dapat dirasakan ketika memasuki dan keluar selekoh. Kuasa yang dialirkan daripada enjin 2.0TSI turbo bukan sahaja responsif malah kekal konsisten.

Ia antara kelebihan model hot hatch prestasi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 6:27 AM