Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SEJAK diperkenalkan pada 1969, Nissan Z-car atau lebih dikenali sebagai 'Fairlady' adalah kenderaan sports dua pintu dengan dua tempat duduk yang menawarkan gaya, kelajuan, prestasi diyakini dan harga lebih kompetitif buat peminat automotif seluruh dunia.

Selepas 50 tahun, baru-baru ini, model Nissan Z Serba Baharu 2023 didedahkan di Amerika Syarikat (AS).

Nissan Z Serba Baharu 2023 adalah kenderaan generasi ketujuh yang bakal menjengah ke pasaran AS pada suku pertama 2022.

Kini ia tidak lagi menggunakan angka nombor untuk model yang ditawarkan sebelum ini seperti Nissan 370Z dan hanya dikenali sebagai Z untuk pasaran di sana.

Sebelum itu, pada September 2020, Nissan Z Proto didedahkan sebagai bayangan kepada generasi ketujuh ini yang kini turut ditawarkan sebagai unit edisi terhad.

Berkaitan reka bentuk, ia adalah gabungan idea dan pandangan daripada pemilik dan peminat Z yang diperoleh dari seluruh dunia.

Model ini mengekalkan bayangan model generasi pertama yang direka dengan bonet panjang dan belakang kenderaan lebih rendah.

Garisan bumbung dari hadapan ke belakang pula menyerlahkan gaya retro dengan garisan krom 'katana blade' pada sisi.

Ia digabungkan dengan ciri moden seperti lampu utama LED dan lampu nyalaan siang (DRL) separa bulat yang diinspirasikan daripada model 240Z pada era 70-an yang ketika itu hanya dipasarkan di Jepun.

Pemegang pintu rekaan 'flush-mount' pula berbentuk pintu hatch nipis namun kekukuhannya dipertingkatkan berbanding model 370Z.

Pada bahagian belakang, dengan dapra 'blister', ia berfungsi mengalirkan udara dari sudut panel mendatar.

Nissan Z Serba Baharu 2023, ciri warisan prestasi
Nissan Z Serba Baharu 2023, ciri warisan prestasi

240Z generasi pertama.
240Z generasi pertama.

Lampu belakang LED kombinasi gabungan elemen moden dan vintaj adalah asas rekaan daripada model Z32 iaitu 300ZX (1990-1996) termasuk ciri 3D signatur Z.

Spoiler belakang untuk varian Z Performance menghasilkan tekanan positif pada pintu hatch.

Ia juga datang dengan dwi-ekzos sebagai ciri prestasi.

Spoiler hadapan pula adalah konsep daripada model Nissan GT-R yang memanfaatkan zon tekanan negatif untuk memacu pemanduan lebih stabil.

Tampil menyerlah ialah padanan rim aloi 18 inci untuk Z Sport dan 19 inci Rays untuk Z Performance dengan tayar Yokohama Advan Sport serta Bridgestone Potenza.

Bagi ruang dalaman Z, ia untuk dua penumpang dengan kokpit meter pemandu TFT bersaiz 12.3 inci disertakan paparan khas gaya perlumbaan.

Ia menyerlahkan gaya kabin kereta sport yang sesuai untuk apa juga tujuan pemanduan cetusan idea pemandu legenda Nissan Super GT500, Tsugio Matsuda.

Ini termasuk tiga meter analog pada papan pemuka untuk memaparkan tolok boost, kelajuan turbo dan voltmeter yang menghadap kepada pemandu.

Untuk sistem multimedia, ia bersaiz 8 inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, NissanConnect, hotspot Wifi, navigasi dan sistem lapan pembesar suara Bose untuk akustik.

Roda stereng kuasa elektrik tiga jejarinya pula bergaya vintaj namun kekal ciri untuk kawalan lebih pantas dan tepat pada kelajuan tinggi.

Kerusi sport bucket dibangunkan daripada pengalaman penghasilan model Nissan GT-R untuk kekal dan stabil dengan material 'suede' pada bahagian belakang yang mengurangkan gegaran serta tambah lebih selesa.

KABIN gaya prestasi.
KABIN gaya prestasi.

ENJIN 3.0 liter V6 dwi-turbo.
ENJIN 3.0 liter V6 dwi-turbo.

PAPARAN meter TFT.
PAPARAN meter TFT.

Untuk enjin, ia dijana dengan 3.0 liter V6 pengecas turbo berkembar e-VVT dengan 400 kuasa kuda (hp) dan tork 475Nm pada 1,600 hingga 5,600 rpm.

Melalui peningkatan 68hp dan 30 peratus pada tork, ia mampu memberikan pengendalian yang tepat dan responsif serta 15 peratus lebih pantas untuk memecut daripada sifar ke 100km/j.

Tambah menarik buat 'kaki racing', ia juga ditawarkan dengan pilihan kotak gear transmisi manual enam kelajuan EXEDY yang diinspirasikan daripada sukan permotoran atau 9 kelajuan automatik dengan pedal penukar gear aluminium seperti yang terdapat pada model GT-R.

Melalui pacuan roda belakang, untuk pilihan kotak gear manual, ia datang dengan sistem kawalan bantuan pelancaran termaju untuk pecutan lebih responsif daripada kedudukan berhenti,

Untuk transmisi automatik, ia datang dengan sistem kawalan pelancaran termasuk dua mod pemanduan iaitu standard dan sport.

Ia dibina dengan sistem keselamatan terbaik seperti Kawalan Dinamik Kenderaan, Sistem Kawalan Cengkaman dan Pengesan Pejalan Kaki.

Kerangka dan casisnya diberi penambahan kekukuhan sehingga 10 peratus untuk prestasi maksimum.

Nissan Z 2023 ditawarkan dengan varian Sport dan Performance serta edisi khas Proto Specs yang terhad kepada 240 unit.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu 'Black Diamond Metallic', 'Gun Metallic' dan 'Rosewood Metallic' serta pilihan dua tona warna bumbung dengan kombinasi enam warna iaitu 'Brilliant Silver', 'Boulder Gray', 'Seiran Blue baharu', 'Ikazuchi Yellow baharu', 'Passion Red TriCoat' dan 'Everest White Pearl TriCoat'.

Nissan Z 2023 dijual di AS pada anggaran harga RM170,000 hingga RM207,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:53 AM