Lizam Ridzuan

Hadir sebagai generasi keempat, Nissan Almera Turbo Serba Baharu yang dilancarkan baru-baru ini bukan sekadar berbeza daripada segi rupa malah elemen prestasi.

Ia dilancarkan pengedarnya, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dan menampilkan tiga varian iaitu VL, VLP serta VLT.

Vroom berpeluang memandu uji Almera Turbo varian VLT yang juga model teratas baru-baru ini.

Penulis menggunakan kesempatan yang ada untuk berlegar di sekitar Lembah Klang ke Putrajaya dan memandu di lebuh raya serta kawasan kota raya.

Melihat kepada rekaan luar, model ini tampil lebih sporty dan aerodinamik.

Ia dapat dilihat terutama pada bahagian hadapan rekaan gril V-Motion krom yang juga signatur Nissan.

Kombinasi hitam piano menjadikannya tampil lebih premium.

Untuk varian teratas, ia juga dilengkapi lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) LED dengan konsep reka bentuk 'boomerang'.

NISSAN Almera Turbo Serba Baharu serlah gaya dan prestasi
NISSAN Almera Turbo Serba Baharu serlah gaya dan prestasi

Nyalaan lampu ini bukan saja jelas pada waktu malam malah mudah dilihat pada siang.

Keseragaman konsep menyerlah dengan bampar belakang 'sport diffuser' dan corak gentian karbon.

Kombinasi lampu belakang LED dengan bingkai hitam berkilat juga tampil kemas.

Model dengan dimensi lebih panjang 70 milimeter (mm), lebar 45mm dan rendah 40mm daripada model generasi terdahulu, turut hadir dengan elemen bumbung terapung pada tiang-C dan padanan rim aloi dwitona 16 ini.

REKAAN tampil lebih sporty.
REKAAN tampil lebih sporty.

Menjengah ke ruang dalaman terutama pada bahagian papan pemuka, ia tampil kemas dengan dwitona kulit digabungkan dengan warna kelabu.

Ia turut diterapkan pada kerusi kulit 'semi bucket' graviti sifar yang bukan sahaja selesa malah mengurangkan keletihan jika memandu pada jarak jauh.

Ia juga diserikan dengan kemasan krom dan elemen gentian karbon pada beberapa bahagian untuk ciri lebih ranggi.

Penulis menggemari roda stereng kulit sport 'flat bottom' dengan pelbagai fungsi, namun ia tidak didatangkan dengan pedal penukar gear.

Paparan Bantu Pemandu Termaju (ADAD) dengan panel meter separa digital warna penuh dan analog pada speedometer bukan sahaja mudah dilihat malah boleh melaras fungsi melalui butang yang terdapat pada roda stereng.

Untuk sistem infotainmen, ia hadir dengan skrin sesentuh bersaiz lapan inci yang boleh disambungkan dengan Apple CarPlay serta enam pembesar suara.

RUANG kabin dengan ciri dwitona.
RUANG kabin dengan ciri dwitona.

Tiga pengecas USB disediakan di bawah butang sistem penyaman udara automatik, konsol tengah dan bahagian penumpang belakang.

Ruang but seluas 482 liter dan jika mahukan lebih ruang, kerusi penumpang boleh direbah pada kadar 60:40.

Unjuran kaki penumpang belakang juga selesa dengan ukuran 620 mm. Penulis yang berketinggian 176 sentimeter (cm) dapat duduk dengan selesa termasuk kelegaan pada kepala.

Mengenai pemanduan, paling mengujakan penulis ialah, ia dibekalkan dengan enjin HR10DET 1.0 liter tiga silinder sebaris DOHC dengan pengecas turbo serba baharu.

Ia menghamburkan kuasa 100PS pada 5,000 rpm dan tork maksimum sehingga 152Nm pada 2,400 hingga 4,000rpm.

Memandu di lebuh raya adalah lokasi yang ideal untuk mencuba prestasinya dan ia mengalirkan tenaga dengan lancar hasil transmisi X-Tronic CVT dengan D-Step Logic.

TEMPAT duduk hadapan ‘semi bucket’.
TEMPAT duduk hadapan ‘semi bucket’.

Ia turut didatangkan dengan mod Sport yang menambahkan lagi ciri kepuasan pemanduan untuk nisbah tukaran gear lebih panjang bagi pecutan yang lebih baik.

Nissan Almera Turbo juga didatangkan dengan Teknologi Mirror Bore Coating yang diadaptasi daripada model Nissan GT-R dengan silinder nipis 0.2mm.

Ia menawarkan aliran haba lebih baik, meningkatkan prestasi sejukan dan mengurangkan bunyi desiran pada enjin.

Segala ciri itu, bagi melengkapi elemen prestasi, ia didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik seperti enam beg keselamatan SRS bagi dua varian teratas, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa Brek Elektrik (EBS), Bantuan Brek (BA) dan Isofix.

Paling terkini ialah Mobiliti Pintar Nissan dengan Amaran Perlanggaran Hadapan Pintar (IFCW) dan Brek Kecemasan Hadapan Pintar (IFEB) yang juga ciri standard untuk semua varian.

Untuk VLT, ia ditambah dengan Amaran Titik Buta (BSW), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) serta Monitor Pandangan Sekitar Pintar (IAVM) dengan Pengesan Objek Bergerak Pintar (IMOD).

Secara keseluruhan, Nissan Almera Turbo ini adalah pencabar utama kenderaan dalam segmen-B di negara ini.

Sesuai untuk mereka yang gemarkan kenderaan dengan elemen selesa dan praktikal pada harga di bawah RM100,000, Almera adalah model yang dicadangkan.

Melalui rekaan yang bukan sahaja lebih segar dan terkini, elemen teknologi dan keselamatan serta enjin 1.0 liter pengecas turbo menjadi tarikan utamanya.

Penulis berpendapat, enjin ini sangat mengujakan untuk digunakan dalam kawasan bandar serta lebuh raya dan selekoh pendek.

Ia hasil pengendalian yang lebih mantap melalui sistem gantungan hadapan Independent MacPherson Struts dengan Penstabilan dan sistem gantungan belakang Torsion Beam dengan Penstabilan.

ENJIN 1.0 liter, tiga silinder, pengecas turbo.
ENJIN 1.0 liter, tiga silinder, pengecas turbo.

Tenaga tork digerakkan dengan responsif serta tidak perlu menunggu lama untuk ia melonjakkan kuasanya terutama melalui mod Sport.

Ruang dalaman elegan dan selesa, but luas, sistem infotainmen dan paparan meter teknologi terbaharu menambah elegan Almera.

Ia bukan sekadar model biasa-biasa malah bakal menjadi 'game changer' buat pasaran Nissan di negara ini.

Untuk penggunaan bahan api, dengan 35 liter penuh, ia dikatakan mampu mencapai 650km dengan jarak 18.4km untuk setiap liter namun penulis sekadar mencatatkan 12.4 liter melalui Laporan Pemanduan ECO pada ADAD.

Ini kerana, penulis kerap memandu pada kelajuan tinggi, bukan pemanduan efisien serta sering memilih mod Sport yang mencatatkan jarak sekitar 230km dengan berbaki 190km sewaktu memulangkan kereta ini di Segambut, Kuala Lumpur.

Enam pilihan warna ditawarkan dengan tiga warna baharu iaitu Merah Radiant, Oren Monarch dan Kelabu Metal Gelap (seperti unit pandu uji ini) selain Hitam Diamond, Putih Brilliant dan Perak Tungsten.

Untuk pasaran Malaysia, Nissan Almera Turbo Serba Baharu dijual pada harga RM79,906 (VL), RM85,715 (VLP) dan RM 91,310 (VLT) (harga atas jalan tanpa insurans termasuk pengecualian cukai jualan sehingga Disember ini).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 7:00 AM