GAYA klasik 911.
GAYA klasik 911.
Lizam Ridzuan

BUAT pengumpul kenderaan mewah dan 'rare', Porsche 911 Sport Classic adalah model kedua daripada empat yang ditawarkan oleh jenama itu membabitkan strategi 'Heritage Design' mereka.

Dengan hanya 1,250 unit dikeluarkan, ia adalah model edisi terhad oleh Porsche Exclusive Manufaktur yang diinspirasikan gaya kenderaan itu pada 1960-an dan 70-an.

Seperti model pertama generasi 997 diasaskan daripada 911 Sport Classic yang dilancarkan pada 2009, model ini diserlahkan dengan gaya asal model 911 (1964 hingga 1973) dan 911 Carrera RS 2.7 (1972).

Kerangka lebar dengan spoiler belakang gaya legenda 'ekor itik' daripada model Carrea RS 2.7 dan bumbung 'double-bubble' antara yang dipadankan padanya.

Buat pertama kali, ia didatangkan dengan lapisan warna Sport Grey Metallic selain hitam, Agate Grey Metallic, Gentian Blue Metallic atau sampel cat pilihan pembeli.

Dua garisan pada bonet, bumbung dan spoiler belakang pula dipadankan dengan warna Sport Grey yang lebih cerah.

Ruang kabinnya juga eksklusif dengan corak ikonik Pepita pada panel pintu dan bahagian tengah kerusi.

Ia didatangkan dengan enjin 3.7 liter turbo berkembar enam silinder selari yang menjana kuasa 550PS pacuan roda belakang.

ELEMEN legenda Porsche dengan spoiler belakang ‘ekor itik’.
ELEMEN legenda Porsche dengan spoiler belakang ‘ekor itik’.

Sesuai sebagai model prestasi, ia dilengkapi kotak gear tujuh kelajuan manual. Ia adalah model yang paling berkuasa untuk model 911 manual yang terkini.

Ia mempunyai fungsi auto-blip yang mengimbangi perbezaan antara kelajuan enjin dan gear dengan cetusan putaran singkat apabila beralih ke bawah.

Sistem ekzos standard disesuaikan dengan model ini untuk pengalaman bunyi yang lebih 'garang'.

Untuk pengendalian, ia yang diasaskan daripada model 911 Turbo dan 911 GTS memenuhi elemen ciri prestasi menerusi Pengurusan Suspensi Aktif Porsche (PASM).

Penyerap hentakan akan bertindak balas terhadap perubahan dinamik pada kelajuan tinggi.

Naib Presiden Individualisasi dan Klasik Porsche Alexander Fabig berkata, model reka bentuk warisan ini adalah konsep strategi Porsche yang didorong oleh sentuhan emosi jiwa pemanduan.

RUANG kabin corak ikonik Pepita .
RUANG kabin corak ikonik Pepita .

JAM tangan edisi khas.
JAM tangan edisi khas.

"Pendekatan unik ini dihasilkan menerusi Jabatan Reka Bentuk Gaya Porsche yang bekerjasama dengan Porsche Exclusive Manufaktur untuk mewujudkan semula model dan komponen ikonik 911 daripada 1950-an hingga 1980-an serta menghidupkan kembali ciri reka bentuk dari dekad terbabit.

"Porsche melancarkan empat model edisi terhad dalam tempoh yang panjang iaitu yang pertama pada 2020 menerus 911 Targa 4S Heritage Design Edition dengan elemen reka bentuk gaya 1950-an dan 1960-an," katanya.

Porsche Design juga mencipta jam tangan bermutu tinggi yang tersedia secara eksklusif untuk pemandu yang membeli kenderaan edisi pengumpul ini.

Sebagai sebahagian daripada pakej Heritage Design Classic, beberapa elemen dalaman 911 Sport Classic baharu juga tersedia untuk kebanyakan model 911 terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 7:00 AM