Lizam Ridzuan

Cetusan idea varian ini pernah didedahkan sekitar 2014 oleh Proton, namun hanya menjadi realiti pada tahun ini.

Proton Iriz Active 2022 Baharu diperkenalkan ke pasaran tempatan Ogos lalu dengan bahagian luaran dan dalaman dipertingkatkan termasuk kotak gear.

Vroom berpeluang memandu uji Proton Iriz Active 2022 Baharu baru-baru ini bagi menilai reka bentuk dan prestasi terkini model hatchback segmen-B ini.

Bentuknya masih kekal seperti sebelum ini, namun tampil dengan kemasan baharu seperti pada bahagian gril hadapan corak 'Infinite Weave dan Ethereal Bow' dan logo Proton terkini.

Sekali pandang, ia seakan-akan model kenderaan utiliti sukan (SUV) X50 yang kini dengan lampu hadapan kemasan baharu serta lampu nyalaan siang (DRL) daripada LED.

Ia tampil lebih menyerlah dengan padanan dapra pada bahagian tepi termasuk pada 'wheel arch' yang membayangkan ia dengan sentuhan ciri ala crossover.

KEMASAN gril baharu.
KEMASAN gril baharu.

Ditambah pula dengan rel bumbung, ia sesuai untuk menambah rak bagi membawa basikal atau peralatan bersukan yang lain.

Bahagian belakang dilengkapi lampu LED serta bampar rekaan baharu, bumbung hitam serta rim aloi 16 inci corak baharu tampil padanan yang ideal.

Bahagian kabin pula dengan suasana lebih segar tampil kemasan hitam dengan kerusi rekaan baharu daripada material separuh kulit dan fabrik.

Ia turut ditawarkan dengan roda stereng pelbagai fungsi selain meter analog dan digital TFT.

Untuk penyaman udara, ia datang dengan paparan digital baharu dan pedal brek serta kelajuan.

KEMASAN kabin sentuhan merah.
KEMASAN kabin sentuhan merah.

Ciri terkini juga diberikan pada papan pemuka dengan sistem infotainmen bersaiz 8 inci 'terapung' skrin sesentuh dan fungsi arahan suara 'Hi Proton'.

Fungsi itu meskipun sudah ada pada model Iriz versi peningkatan sebelum ini namun ia ditambah dengan kawalan pada penyaman udara dan tingkap sebelah pemandu boleh diturunkan.

Sesuai disasarkan buat golongan muda, ia turut dilengkapi enam pengecas USB dengan tiga di hadapan, dua untuk belakang dan satu pada cermin pandang belakang bagi kemudahan untuk memasang 'dash cam'.

Ia juga datang dengan kamera undur dan pengesan parkir hadapan dan belakang serta butang mod ECO bagi indikasi pengendalian untuk penggunaan bahan api lebih efisien.

ENJIN 1.6 liter dengan kotak gear diperkemas.
ENJIN 1.6 liter dengan kotak gear diperkemas.

Untuk pemanduan, varian Iriz Active ini dikuasakan dengan enjin 1,597cc, 4 silinder selari, 16 injap DOHC, VVT yang menjana 109PS pada 5,750 rpm dan 150Nm pada 4,000 rpm.

Model Iriz baharu ini datang dengan kotak gear Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT) yang diperbaharui daripada sudut perisian yang menurut Proton memberi kesan kepada penggunaan bahan api lebih baik, tukaran gear tambah lancar serta pengurangan kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH).

Penulis dapat berasakan perbezaan itu terutama ketika pada kelajuan tinggi yang mana ruang kabin lebih senyap dan ketika memecut, tukaran gear mengurangkan sebarang kejutan (jerk).

Pengendalian dan keselesaan kereta ini juga kekal mantap dengan suspensi hadapan MacPherson Strut dengan palang penstabilan selain Torsion Beam untuk bahagian belakang.

Secara keseluruhan, Proton Iriz Active ini tampil menarik dengan ciri kemasan baharu sesuai buat mereka yang mahukan sebuah kenderaan kompak dengan ciri praktikal.

Selain sistem keterhubungan termaju 4G dan sambungan wi-fi di ruang kabin, ia juga datang dengan sistem penapis udara N95 untuk kualiti udara lebih baik.

ELEMEN jahitan serta tali pinggang keledar merah.
ELEMEN jahitan serta tali pinggang keledar merah.

Dengan tangki penuh 40 liter, ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 350 kilometer (km), bergantung kepada corak pemanduan individu.

Iriz Active juga datang dengan enam beg keselamatan SRS (untuk dua varian teratas) yang dilindungi kerangka badan kenderaan besi 'Hot Press Formed' sebagai ciri standard.

Ciri lain disertakan antaranya ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Kawalan Kestabilan Elektronik.

Bagaimanapun, penulis berpendapat, rekaan rim aloinya tidak begitu sepadan dengan konsep kenderaan ini.

IRIZ Active 2022.
IRIZ Active 2022.

Unit Iriz Active dengan warna baharu 'Oren Citric' dan 'Merah Passion' adalah eksklusif untuk varian ini sahaja.

Warna lain ditawarkan ialah 'Perak Armour', 'Kelabu Jet', 'Biru Ocean' dan 'Ruby Red'.

Proton Iriz 2022 ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu 1.3L Standard CVT, 1.6L Executive CVT dan 1.6L Active CVT yang dijual pada harga RM40,300, RM47,100 dan RM54,000 (harga atas jalan tanpa insurans termasuk pengecualian cukai jualan (SST).

Ia datang dengan jaminan lima tahun pengeluar dengan jarak perbatuan 150,000km (yang mana lebih dahulu).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:55 AM