Lizam Ridzuan


 IRIZ R3 Edisi Terhad
IRIZ R3 Edisi Terhad

SEMEMANGNYA model edisi khas yang ditawarkan oleh Proton Holdings Berhad (Proton) sering dinantikan peminat kenderaan nasional pertama ini.

Untuk itu, sebagai pembuka tirai 2021, empat model pertama dilancar terdiri daripada Proton Persona, Exora Edisi Hitam dan Saga serta Iriz R3 Edisi Terhad.

Semua model ini mempunyai keunikan tersendiri yang menyerlahkan ciri elegan dan tampil lebih premium serta berbeza daripada varian standard.

Untuk model Persona dan Exora Edisi Hitam, kedua-duanya diberi sentuhan kemasan luaran baharu terutama pada gril dengan hiasan hitam dan emas pada bawah bampar hadapan serta belakang.

Ia turut dipadankan dengan rim aloi berwarna emas 15 dan 16 inci dan kemasan hitam pada bahagian atas lampu hadapan.

SAGA R3 Edisi Terhad
SAGA R3 Edisi Terhad

Ruang dalamannya antaranya turut dilengkapi dengan papan pemuka dan butang fungsi penyaman udara.

Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Exora turut dilengkapi dengan skrin paparan di bumbung dan seperti model Proton lain, ia didatangkan dengan penapis udara kabin N95.

Saga dan Iriz R3 Edisi Terhad sebagai kesinambungan legasi teknologi sukan permotoran Proton tampil dengan warna hitam dan kuning seperti Edisi Ulang Tahun ke-35 yang diperkenalkan tahun lalu.

RUANG kabin Saga R3
RUANG kabin Saga R3

Model itu hanya dikeluarkan sebanyak 1,100 unit dan habis ditempah dalam tempoh lima hari.

Untuk yang terbaharu, Iriz dan Saga R3 kini ditambah dengan kit, pelekat badan, cermin hadapan serta belakang R3.

PERSONA Edisi Hitam
PERSONA Edisi Hitam

Selain itu, terdapat kemasan halus seperti lambang R3 pada penutup but dan pelekat tingkap logo kejuaraan perlumbaan.

Untuk model Iriz, spoiler atas pintu belakang juga didatangkan dengan pelekat R3 pada penghujungnya untuk gaya jentera prestasi.

ELEMEN ruang dalaman Iriz R3
ELEMEN ruang dalaman Iriz R3

Ia didatangkan dengan rim aloi 16 inci R3 baharu berwarna kelabu.

Ruang dalaman R3 menyerlah dengan warna kuning pada panel tengah selain kombinasi meter dan corong penyaman udara yang dipadankan dengan alas kaki khusus R3.

Tempat duduk, roda stereng kulit dan logo R3 Edisi Terhad pada papan pemuka menyerlahkan gaya dan ciri eksklusifnya.

EXORA Edisi Hitam
EXORA Edisi Hitam

Semua model edisi khas masih mengekalkan enjin yang sama dengan model standard iaitu 1.6L CVT (Persona), 1.6T CVT (Exora), 1.6L CVT (Iriz) dan 1.3L AT (Saga).

Keempat-empat model Proton Edisi Khas ini dijual pada harga RM54,700 (Persona Edisi Hitam), RM67,800 (Exora Edisi Hitam), RM52,900 (Iriz R3 Edisi Terhad) dan RM42,300 (Saga R3 Edisi Terhad) (semua harga atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan (SST)).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 6:20 AM