HONDA CBR250R
HONDA CBR250R
LAMPU hadapan berkembar ciri siri CB.
LAMPU hadapan berkembar ciri siri CB.
 LAMPU isyarat jelas dilihat.
LAMPU isyarat jelas dilihat.
PAPARAN meter analog dan digital.
PAPARAN meter analog dan digital.
 SUSPENSI belakang Pro-link.
SUSPENSI belakang Pro-link.
SISTEM penyejuk cecair.
SISTEM penyejuk cecair.
ENJIN 249.6cc kemas dan kompak.
ENJIN 249.6cc kemas dan kompak.
MELAYAN selekoh stabil dan mantap.
MELAYAN selekoh stabil dan mantap.
Lizam Ridzuan


Sejak dibawa ke pasaran tempatan enam tahun lalu, Honda CBR250R adalah pilihan buat penunggang baru serta mereka yang mahu menaik taraf tunggangan berkuasa lebih tinggi berbanding moped.

Sebagai model gantian pada Honda CBR150R yang pernah berada dalam pasaran tempatan sekitar 2008, sportsbike dengan fairing penuh ini juga sebagai model yang mudah dan ringkas sesuai untuk semua penunggang.

Model serba baru seperti yang ada pada hari ini mula dilancarkan pada 2014 dengan rekaan lebih sporty yang diasaskan daripada DNA siri CBR ‘abang-abangnya’ seperti CBR500R, CBR600RR dan CBR1000RR.

Pada Mei lalu, Boon Siew Honda Sdn Bhd selaku pengedar utama motosikal jenama Honda di negara ini melancarkan tiga warna baru iaitu Hitam, Merah Millenium dan Kuning Lemon Ice bagi menyegarkan semula model ini untuk kekal bersaing dalam pasaran serta tampil lebih bergaya.

Penulis berpeluang menunggang uji model generasi pertama ketika baru dilancarkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 2011, dengan generasi terkini ternyata banyak perbezaan pada posisi menunggang dan keupayaan enjin dapat dirasakan.

Paling utama, kuasa enjin DOHC empat injap 249.6 cc silinder tunggal memberinya prestasi memberangsangkan dengan kuasa kuda 27 hp pada 8,500 rpm serta tork 23.3Nm pada 7,500 rpm dengan transmisi enam kelajuan.

Ia juga efisien dari segi penggunaan bahan api serta komponen enjin merangkumi gelang omboh geseran rendah dan palam pencucuh iridium juga membantu mengurangkan kos penyelenggaraan.

Sememangnya model motosikal Honda diterjahi enjin tahan lasak dan untuk CBR250R, walaupun bersaiz kecil dan kompak, ia memberi kawalan lebih ringan dengan agihan berat seimbang bagi mudah untuk dikawal.

Tiada perbezaan enjin, hanya sekadar warna baru sejak tiga tahun lalu, CBR250R sesuai untuk tunggangan dalam bandar dan kelajuan maksimum mampu dicatatkan di lebuh raya pada sekitar 160 kilometer (km)/sejam.

Malah, bagi tujuan di litar lumba sekali lagi penulis mencubanya dan kali ini di Litar Lebuhraya Elit, Subang Jaya. Apa yang pasti, jentera ini seronok ditunggang serta memberi kawalan baik terutama melayan selekoh tajam dan torknya sangat agresif.

Nisbah tugaran gear juga lancar menjadikan perjalanan anda lebih berprestasi dan untuk memintas sebarang kenderaan di jalanan sememangnya tiada masalah kesuntukan kuasa walaupun hanya berbekalkan dengan satu silinder.

Instrumen panel meter gabungan analog dan digital dengan odometer, aras bahan api, paparan waktu, suhu enjin, isyarat membelok dan rpm bagi maklumat perjalanan dipaparkan dengan mudah dan jelas.

Posisi menunggang juga selesa dengan tidak terlalu membongkok, sesuai untuk tunggangan jarak jauh dengan suspensi hadapan teleskop pada serta Pro-Link pada belakang berfungsi baik menahan tekanan dan permukaan laluan tidak rata.

Lampu hadapan berkembar menyerlahkan lagi rekaan keseluruhan serta jelas untuk tunggangan waktu malam dan rim sport 17 inci sepadan untuk motosikal ini dengan tayar bersaiz 110/70-17M/C 54S (hadapan) dan 140/70-17M/C 66S (belakang) supaya lebih stabil dan cengkaman lebih kuat.

Pada pandangan penulis, walaupun pasaran motosikal segmen 250cc fairing penuh mempunyai saingan kompetitif dengan model dua silinder, jentera CBR250R ini mempunyai kekuatan tersendiri.

Jenama Honda bukan sahaja terbukti dengan ketahanan enjin terbaik malah satu silinder juga menjadikan penggunaan bahan api pada motosikal ini lebih efisien dengan Programmed Fuel Injection (PGM-Fi) dan tangki mampu menampung 13 liter petrol.

Prestasinya tidak mengecewakan terutama ketika memecut di lebuhraya mengalirkan kelancaran tenaga berterusan dan untuk mencelah di dalam bandar juga mudah dilakukan.

Walaupun ramai menunggu model lebih ranggi CBR250RR yang belum diputuskan masanya memasuki pasaran tempatan, model ini andai dinilai dari segi harga selepas jualan yang tinggi, masih relevan dalam pasaran di negara ini serta teknologi enjin ditawarkan memberi keseronokan menunggang.

Harga jualan asas untuk model import sepenuhnya (CBU) dari kilang pemasangan Honda di Thailand bermula daripada RM21,940.94 (hitam) dan RM22,258.94 (Merah Millenium dan Kuning Lemon Ice) termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

INFO

HONDA CBR250R

• ENJIN: 249.6 cc 4 Lejang DOHC silinder tunggal penyejuk cecair

• KUASA: 27 hp pada 8,500 rpm

• TORK: 23.3Nm pada 7,500 rpm

• KAPASITI TANGKI: 13 liter

• SISTEM KESELAMATAN: Brek bercakera hadapan dan belakang.

• HARGA: RM21,940.94 (hitam) dan RM22,258.94 (Merah Millenium dan Kuning Lemon Ice)

* Paparan ini boleh disaksi dalam segmen Vroom Berita TV9 hari ini, jam 12 tengah hari dan 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:01 AM