HONDA CBR650F.
HONDA CBR650F.
Lizam Ridzuan

Jentera sportsbike kelas pertengahan ini diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2014 menawarkan gaya tunggangan berprestasi, harian atau hujung minggu.

Honda CBR650F menampilkan rekaan gaya super sport terutama pada bahagian fairing penuh dan reka bentuk keseluruhannya dengan ciri erodinamik yang mengekalkan DNA model CBR terdahulu.

Penulis berpeluang menunggang uji model baru 2018 dipertingkatkan dengan sentuhan warna baru Hitam Matt Gun Powder yang lebih maskulin dan sporty.

Sebaik melabuhkan punggung di atas pelana, posisi kedudukan agak sporty namun tidak membebankan tangan memberikan keyakinan tambahan untuk menunggangnya.

Dikuasakan enjin 650cc empat silinder sejukan cecair PGM-FI, ia menawarkan kelancaran dan tenaga berterusan terutama ketika memecut di lebuh raya atau jalan bandar dengan 90 kuasa kuda (hp) pada 11,000rpm dan daya kilas maksimum 60.5Nm pada 8,500rpm.

CBR650F dengan pilihan warna maskulin.
CBR650F dengan pilihan warna maskulin.

Menggunakannya ketika mencelah dalam kesibukan trafik terasa mudah kerana kerangka tirus dan kompak dengan kelebaran jentera 753 milimeter (mm) dan panjang 2,107mm.

Selepas mengambil jentera ini di Boon Siew Honda Kepong, kesesakan lalu lintas adalah cabaran awal yang perlu penulis harungi, namun tiada masalah bersama jentera CBR ini.

Malah, nisbah tukaran gear yang pendek memudahkan kendalian dengan klac basah multiplate enam kelajuan sesuai untuk perjalanan dekat atau jauh.

Suspensi hadapan baru dipertingkatkan daripada Showa dwiinjap lenturan (SDBV) dan fork teleskopik 41 milimeter (mm) menawarkan keselesaan untuk pelbagai tahap kelajuan serta kendalian lebih mantap dan tepat.

 KOTAK gear enam kelajuan.
KOTAK gear enam kelajuan.

Ketika melayan selekoh, kelebaran tayar 180/55 dan lengan ayun serta peredam monoshock prabeban boleh laras berfungsi baik menjadikan pergerakan stabil dan lancar sepanjang perjalanan.

Sebagai jentera berkuasa tinggi, ia dilengkapi dengan meter pelbagai LCD yang memaparkan kelajuan dan rpm digital, meter perjalanan, jam, indikasi lampu isyarat dan tahap bahan api.

Ciri keselamatan dipasang dengan brek cakera berkembar 320mm hadapan dan belakang tunggal 240mm daripada Nissin membolehkan motosikal berhenti dalam apa juga kelajuan atau permukaan jalan.

REKAAN ciri aerodinamik.
REKAAN ciri aerodinamik.

Lampu hadapan rekaan baru dan lampu belakang LED menjadikannya mudah dilihat pada siang hari dan jelas menyinari pada sebelah malam.

Secara keseluruhan, jentera ini menawarkan rekaan menarik sebagai motosikal yang boleh digunakan sama ada ke tempat kerja atau tunggangan hujung minggu.

Posisi menunggang juga tidak terlalu menunduk, manakala pelana bersaiz 810mm sesuai untuk penunggang Asia.

LAMPU hadapan LED rekaan baru.
LAMPU hadapan LED rekaan baru.

Tangki bahan api 17.5 liter membolehkannya meluncur lebih jauh terutama untuk tujuan jelajah atau kembara yang mencatatkan penggunaan minyak 20 kilometer (km) bagi setiap liter.

Ketika memecut di lebuh raya, jentera ini tidak mengecewakan dengan enjin talaan baru ditambah kerangka asas Rock-solid bagi pengendalian lebih responsif.

Untuk ‘meleper’ di litar lumba, CBR650F antara model yang sesuai digunakan dengan gaya dan ciri kerangka daripada DNA sporty dan perlumbaan Honda.

 PAPARAN maklumat perjalanan LCD.
PAPARAN maklumat perjalanan LCD.

Kelajuan tinggi mudah dicapai, malah pada kelajuan rendah, ia mudah dikawal terutama ketika dalam bandar dengan berat jentera sekitar 214 kilogram (kg).

Selain warna Hitam Matt Gun Powder, CBR650F baru turut ditawarkan dalam Merah Millenium dan Putih Metalloid Mutiara.

Untuk pasaran tempatan, model diimport sepenuhnya (CBU) ini dijual pada harga RM44,449 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua tahun waranti atau 20,000km yang mana lebih dulu.

POSISI menunggang ergonomik.
POSISI menunggang ergonomik.

HONDA CBR650F

• ENJIN: 648.72cc sejukan cecair, empat silinder selari

• KUASA MAKSIMUM: 90hp @ 11,000rpm

• TORK MAKSIMUM: 60.5Nm @ 8,500rpm

• KAPASITI BAHAN API: 17.3 liter

• CIRI KESELAMATAN: Brek cakera hadapan berkembar dan cakera tunggal roda belakang

• HARGA: RM44,449 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 12:33 PM