KAKA Azraff. FOTO Arkib NSTP
KAKA Azraff. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Insya-Allah esok saya akan jelaskan. Saya akan bersama peguam untuk menjawab perkara ini," kata penyanyi, Kaka Azraff yang bakal tampil menjelaskan dakwaan ditamatkan kontrak oleh syarikat rakaman, Warner Music Malaysia gara-gara kelantangannya mengecam tindakan tidak berperikemanusian dilakukan Israel terhadap Palestin.

Kaka ketika dihubungi Harian Metro memohon maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang komen buat masa ini.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi hal ini lagi. Beri saya sedikit masa untuk jelaskan dan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi," katanya.

Terdahulu, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.

Tindakannya meraih perhatian pempengaruh popular itu apabila memuatnaik semula tangkap layar butiran mesejnya.

Gara-gara kenyataan itu, bukan hanya pempengaruh terbabit, satu laman sosial di bawah nama Jew Hate Database turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.

Difahamkan, kontrak antara penyanyi terbabit dengan Warner Music Malaysia ditamatkan walaupun sepatutnya berakhir pada April tahun depan.

Sehingga kini Warner Music Malaysia tidak memberikan sebarang pengesahan berhubung spekulasi yang tersebar selain usaha Harian Metro mendapatkan komen lanjut tiada berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 11:08 AM