Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Pemandu Perodua Myvi yang terbabit kemalangan yang turut mengorbankan isteri serta dua anaknya di Jalan Gua Musang- Kuala Krai dekat Kampung Pahi, pada jam 1.40 tengah hari, hari ini, sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh Tok Siak Masjid Pahi, Ismail Mat Yaacob.

Ismail, 65, berkata, sebelum kejadian berlaku, dia baru selesai melaungkan azan Zohor dan menunaikan solat sunat sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat di luar perkarangan masjid.

"Sebaik mendengar dentuman itu, saya bergegas keluar melihat apa yang berlaku dan terkejut dua kenderaan remuk terbabit dalam kemalangan.

"Ketika saya menghampiri Perodua Myvi yang berada di perkarangan masjid, hati saya sayu apabila melihat dua susuk tubuh iaitu seorang ibu yang sedang meriba anaknya sudah tidak bergerak dan mungkin sudah meninggal dunia.

ISMAIL Mat Yaacob. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ISMAIL Mat Yaacob. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi masih lagi bernyawa dan saya sempat membisikkan dua kalimah syahadah di telinganya dan dia perlahan-lahan menghembuskan nafas dan memandang ke arah wajah saya sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Mustaza Che Amat, 56, berkata, kejadian itu berlaku tidak jauh daripada rumahnya dan ketika insiden itu dia sedang melakukan kerja di belakang rumah sebelum masuk ke dalam rumah untuk menunaikan solat Zohor.

"Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat seolah-olah kenderaan bertembung.

"Saya terus berlari ke lokasi dan melihat dua kenderaan di lokasi dan terdapat mangsa tersepit.

"Saya terus menghubungi panggilan kecemasan dan kebetulan saya yang juga pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Pahi. Saya diarahkan membantu berikutan ambulans pada waktu itu tidak mencukupi.

"Saya kemudiannya pergi ke klinik untuk mendapatkan ambulans dan membawa mangsa kemalangan ke hospital," katanya.

Terdahulu, empat beranak termasuk dua kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi.

DUA kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan empat maut termasuk dua kanak-kanak di Jalan Gua Musang- Kuala Krai dekat Kampung Pahi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DUA kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan empat maut termasuk dua kanak-kanak di Jalan Gua Musang- Kuala Krai dekat Kampung Pahi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tiga mangsa iaitu pasangan suami isteri serta anak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi anak lelakinya berusia enam tahun meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.

Manakala, tiga lagi dilaporkan cedera termasuk seorang lagi anak pasangan yang maut.

Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta Perodua Myvi dan Nissan March.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 8:12 PM