PENGUSAHA bas sekolah menunggu murid pulang dari Sekolah ketika tinjauan kenaikan tambang bas sekolah di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGUSAHA bas sekolah menunggu murid pulang dari Sekolah ketika tinjauan kenaikan tambang bas sekolah di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MURID-MURID menaiki bas sekolah di SK Bukit Pantai ketika tamat waktu persekolahan. FOTO Sadiq Sani
MURID-MURID menaiki bas sekolah di SK Bukit Pantai ketika tamat waktu persekolahan. FOTO Sadiq Sani
Noor Hidayah Tanzizi dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka naik susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan itu terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, jumlah peningkatan itu bagaimanapun tidak sama dan ia akan bergantung kepada pengusaha bas sekolah selaku pihak yang menjalankan operasi.

Menurutnya, ia juga berdasarkan kawasan dan kos operasi selepas kerajaan tidak mengawal kadar tambang bas sekolah.

Katanya, kadar tambang bas sekolah mengikut kepada pasaran sejak Januari 2015, malah pihaknya juga tiada kuasa menetapkan perkara berkenaan.

"Memang kemungkinan ada peningkatan harga (tambang bas sekolah) untuk penggal baharu, tetapi saya tidak pasti berapa jumlahnya kerana berbeza mengikut operator itu sendiri dengan mereka perlu mengambil kira margin perniagaan dan situasi semasa.

"Ketika ini alat ganti kenderaan mahal dan lebih 80 peratus alat ganti diimport dari luar negara. Kalau dulu mungkin harga alat ganti RM100, tetapi sekarang RM120 hingga RM150 selain itu kita perlu melihat kos penyelenggaraan bulanan.

"Kita perlu menukar minyak hitam dan melihat berapa jauh perjalanan bas itu setiap bulan. Sebab itu saya kata operasi setiap operator tidak sama malah ada juga operator perlu membayar parking, kalau tidak akan disaman," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

SAIFUL ketika ditemubual di SK Bukit Pantai ketika tamat waktu persekolahan. FOTO Sadiq Sani
SAIFUL ketika ditemubual di SK Bukit Pantai ketika tamat waktu persekolahan. FOTO Sadiq Sani

Katanya, pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada pengusaha bas sekolah kerana ia akan mengambil kira dan bergantung terhadap kajian semula penyata untung rugi, selain kata sepakat bersama ibu bapa.

"Antara pelanggan setia bas sekolah adalah golongan B40 kerana ibu bapa bekerja dan kita pun ada pertimbangan malah ada mencadangkan kepada operator untuk memberi diskaun kepada ibu bapa yang mempunyai lebih empat anak yang menggunakan perkhidmatan bas sama," katanya.

Katanya, dia memahami tanpa kenaikan kadar tambang bas sekolah ketika kos penyelenggaraan semakin meningkat hanya akan mengheret pengusaha kepada kerugian dan tidak mustahil akan menyebabkan mereka pula gulung tikar.

"Bilangan bas sekolah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin berkurangan hampir 50 peratus.

"Dan sekarang permintaan bas sekolah memang tinggi, tetapi dalam perkara ini (kenaikan tambang) kedua-dua pihak saling memerlukan dan perlu memahami mengenainya.

"Dalam masa sama saya berharap pihak operator kalau boleh jangan naikkan harga tanpa keperluan dan (boleh) naikkan tambang jika ia memang memerlukan dalam keadaan yang sewajarnya," katanya.

'Kenaikan tambang bakal tambah beban ibu bapa'

Bayangan berlaku kenaikan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan pada Mac ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang turut berdepan dengan tekanan ekonomi.

Peniaga nasi lemak yang mahu dikenali sebagai Hashimah, 50-an, berkata kos sara hidup semakin meningkat menyebabkan ibu bapa terbeban jika berlaku kenaikan tambang bas sekolah.

"Mujur di kawasan ini (Lembah Pantai) ada banyak pengangkutan awam seperti bas percuma GoKL, Rapid KL dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

"Anak-anak saya pergi ke sekolah menaiki bas GoKL kerana percuma dan sekolah menengah di sini juga dekat berbanding sekolah rendah.

"Bagi saya, menghantar anak ke sekolah lebih baik menggunakan perkhidmatan bas sekolah kerana duduk di sini (Kuala Lumpur) memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Ramzi Che Razali, 43, berkata kenaikan kadar tambang bas sekolah menyebabkan ibu bapa mengambil inisiatif menghantar sendiri anak masing-masing.

"Tidak wajar tambang bas sekolah dinaikkan kerana ia membebankan ibu bapa yang perlu berdepan dengan masalah ekonomi.

"Pastinya ramai ibu bapa mengeluh dengan kenaikan ini kerana tidak semua ibu bapa boleh menghantar sendiri anak mereka ke sekolah kerana kesibukan kerja dan kekangan masa.

"Saya mengambil inisiatif menghantar dan mengambil sendiri ketiga-tiga anak saya kerana keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan," katanya.

Siap sedia berdepan kekurangan penumpang

Jangkaan berlaku kenaikan kadar tambang bas sekolah ibarat mencetuskan 'perang dingin' antara pengusaha bas sekolah bersama ibu bapa.

Tinjauan Harian Metro sekitar Lembah Pantai mendapati pemandu bas sekolah bersetuju dengan kenaikan kadar tambang terbabit.

Pemandu bas sekolah, Muhammad Khairul berkata, setakat ini kuantiti penumpang masih baik, tetapi tidak pasti apa akan berlaku jika tambang bas dinaikkan pada Mac depan.

"Sebagai pemandu, saya tidak berani memberi apa-apa kenyataan, itu semua terpulang kepada majikan.

"Setakat ini, jumlah pelajar yang menaiki bas masih stabil tetapi saya tidak pasti jika tambang dinaikkan sekitar Mac nanti.

"Tambang bagi seorang pelajar setakat ini adalah RM100 dan sekiranya dinaikkan ia akan menjadi RM110 hingga RM120. Pemandu juga perlu bersiap sedia berdepan dengan kekurangan penumpang," katanya.

Seorang lagi pemandu bas sekolah, Mohd Saiful Hisham Zainal, 40, berkata tambang bas sekolah wajar dinaikkan kerana kos sara hidup semakin tinggi.

"Logik sekiranya tambang bas dinaikkan antara RM10 hingga RM20 lebih-lebih lagi di sini (Kuala Lumpur).

"Pendapatan kami (pemandu) juga bergantung kepada jumlah penumpang, dan keluhan ibu bapa adalah perkara biasa setiap kali isu ini dibangkitkan," katanya

Beliau yang hampir 12 tahun menjadi pemandu bas sekolah berharap pengusaha bas sekolah dan ibu bapa dapat berbincang dan menemui kata putus berkaitan perkara ini.

Pengusaha tiada untung jika tak naikkan kadar tambang

Kenaikan kadar tambang bas sekolah adalah wajar dan perlu jika kos operasi pengusaha semakin bertambah sehingga tidak membawa keuntungan kepada pihak berkenaan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Seberang Perai Tan Chin Lee berkata, bagaimanapun masih ada pengusaha yang tidak menaikkan harga tambang susulan bayaran bulanan yang dikenakan masih boleh menanggung kos operasi.

Menurutnya, ketika ini kadar tambang ditetapkan sendiri oleh pengusaha dan operator bas sekolah namun ia adalah munasabah mengikut kos dikeluarkan pihak berkenaan dan kenaikan harga juga berdasarkan situasi semasa.

"Kenaikan harga tambang ini berdasarkan pelbagai faktor seperti kos operasi, penyelenggaraan, jarak kawasan dan jumlah murid di sesuatu kawasan. Memang perlu ambil kira untung dan rugi dalam perkara berkenaan.

"Ketika ini harga tambang di kawasan kami ialah RM60 hingga RM80, RM80 hingga RM150 dan RM180 untuk jarak dekat, sederhana dan jauh.

"Kalau ada kenaikan harga mungkin tidak akan lebih RM10 antara RM5 hingga RM10," katanya.

Katanya, jika penumpang kurang di sesuatu kawasan dan jarak jauh namun tetap mempunyai permintaan maka agak wajar pengusaha mengenakan caj lebih sedikit.

Bagaimanapun menurutnya, biarpun tiada penetapan harga namun ia masih menetapkan harga tidak keterlaluan dan pihak terbabit juga mempunyai budi bicara dalam perkara itu.

"Ibu bapa boleh berdialog dengan pengusaha membabitkan perkara itu. Dalam situasi ketika ini yang barang (alat ganti) naik (harga), kalau tidak naik harga (tambang), tiada untung pula (sedangkan pengusaha perlu menanggung kos operasi) baiki (penyelenggaraan) kenderaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, setakat ini tiada sifir atau formula khusus untuk kiraan tambang bas sekolah kerana kos berbeza bagi setiap pengusaha.

Menurutnya, keadaan berbeza dengan sebelum ini di mana tambang bas sekolah dikawal kerajaan yang mempunyai kadar asas dan tambahan setiap kilometer perjalanan pergi dan balik.

Berita berkaitan:
Kenaikan tambang bas sekolah munasabah - Persatuan Pengusaha

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 6:45 AM