SEBAHAGIAN murid yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah.
SEBAHAGIAN murid yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah.

Kuala Lumpur: Pengekalan tambang bas sekolah ternyata melegakan kebanyakan ibu bapa sekali gus memudahkan mereka merancang perbelanjaan bulanan untuk anak yang masih bersekolah.

Tinjauan Harian Metro sekitar ibu negara mendapati kebanyakan perkhidmatan bas sekolah masih mengekalkan tambang selaras dengan saranan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) supaya mengekalkan kadar tambang berdasarkan persetujuan bersama dengan ibu bapa.

Peniaga Shamsiah Ibrahim, 44, berkata, dia menggunakan perkhidmatan bas sekolah bagi anaknya kerana ia lebih fleksibel memandangkan masa berniaga yang tidak tentu.

“Adakalanya jika ada masa terluang saya akan menjemputnya dari sekolah namun dengan adanya bas sekolah saya lebih senang hati kerana anak tidak perlu menunggu lama.

“Lagipun tambang bagi perjalanan pergi dan balik adalah lebih kurang sama dan ia sangat menguntungkan jika memilih perjalanan dua hala kerana menjimatkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pemandu bas sekolah yang ingin dikenali sebagai Murad, 50, berkata, tambang bas dan van sekolah berbeza bergantung kepada kos penyelenggaraan.

“Ada ibu bapa beranggapan tambang bas sepatutnya lebih rendah kerana kapasiti bas sudah penuh, namun kos penyelenggaraan masih sama tidak kira berapa ramai penumpang pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 8:38 AM