LAPORAN Harian Metro, semalam. Gambar kanan, Mohd Sany Hamzan.
LAPORAN Harian Metro, semalam. Gambar kanan, Mohd Sany Hamzan.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Banyak faktor yang menjadi punca banjir di Kampung Rinching Hilir, Semenyih dan kawasan lain di sekitar Hulu Langat dan Dusun Tua.

Salah satunya projek pembangunan yang berkemungkinan mengabaikan kepentingan sistem perparitan.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mendesak syarikat pemaju supaya perlu memberi perhatian serius sepanjang mengendalikan sesuatu projek supaya penduduk tidak menanggung akibat buruk.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga perlu memainkan peranan bagi memastikan semua aspek pembangunan sihat dipatuhi.

"Kerajaan juga dalam usaha menangani masalah di situ dan beberapa kawasan di Dusun Tua serta Hulu Langat menerusi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat dengan peruntukan RM2 bilion.

"Kita sudah mengadakan mesyuarat dengan pejabat tanah, JPS dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta mendapati banyak faktor banjir, antaranya sistem pembangunan atau mungkin sistem perparitan.

"Jadi, untuk syarikat pemaju yang buat projek perumahan, jangan fikir nak tengok rumah siap saja tapi lihat juga aspek lain untuk jangka masa panjang penduduk.

"Fikir juga sekolah, masjid, tanah perkuburan, akses keluar masuk (kawasan perumahan), kawasan komersial dan klinik yang turut beri manfaat kepada pengguna," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tambah Sany, pihaknya sudah melantik perunding untuk membantu menyelesaikan masalah banjir secara keseluruhan.

"Untuk jangka masa pendek, mungkin JPS boleh menyelenggara parit dan membawa keluar pasir dan lumpur yang menghalang kelancaran saliran.

"Bukan setakat pemaju sebenarnya tapi PBT pun kena tengok sama keadaan longkang, parit dan lain-lain yang boleh menjadi punca banjir," katanya.

Selain itu, katanya, penduduk juga perlu bertanggungjawab menjaga persekitaran kediaman mereka agar bersih dan tidak menyumbang kepada masalah banjir.

Akhbar semalam melaporkan keluhan penduduk Kampung Rinching Hilir yang berhadapan masalah banjir, diibaratkan seperti tidak berkesudahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 6:50 AM