ANAK sungai tidak diselenggara mengakibatkan kawasan sekitar tanah rendah sering mengalami banjir kilat di Kampung Rinching Hilir, Semenyih.  FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ANAK sungai tidak diselenggara mengakibatkan kawasan sekitar tanah rendah sering mengalami banjir kilat di Kampung Rinching Hilir, Semenyih. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Redzuan Muharam


Semenyih: Masalah banjir di Kampung Rinching Hilir di sini dan sekitarnya bukan baru, malah sudah berlarutan sejak tiga dekad lalu dan semakin buruk beberapa tahun kebelakangan ini.

Kesannya, bukan hanya rumah penduduk dinaiki air, malah haiwan ternakan turut mati akibat banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa apabila hujan.

Seorang penduduk, Rizal Marhaban, 52, berkata, sejumlah 500 anak ayam peliharaannya mati selepas reban yang terletak berhampiran rumah dinaiki air, dua bulan lalu.

Rizal yang bekerja sebagai polis bantuan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berkata, insiden itu menyebabkan dia menanggung kerugian hampir RM10,000 termasuk bekalan makanan ayam dan peralatan dalam reban rosak.

"Saya sudah menetap di kampung ini selama 30 tahun, cuma baru mengusahakan ternakan ayam setahun lalu.

"Setakat ini saya ada 4,000 ayam, cuma dua bulan lalu, sebanyak 500 anak ayam yang baru seminggu sampai, mati selepas reban dinaiki air.

"Rumah saya pula tak terjejas kerana terletak di kawasan tinggi. Saya ada di rumah ketika kejadian, tapi tak sempat selamatkan anak ayam itu kerana air naik mendadak," katanya kepada Harian Metro.

Bapa enam anak itu tidak menafikan taburan hujan yang agak tinggi ketika kejadian mempengaruhi kejadian banjir di kampungnya.

Bagaimanapun, Rizal berkata, sistem perparitan yang dipercayai masih dalam pembinaan juga menyumbang banjir lebih buruk selain projek pembangunan di sekeliling kampung.

"Bila sudah naik (projek), maka terjadilah bencana seperti banjir ini dan nak salahkan pembangunan sepenuhnya pun tak boleh kerana ia diperlukan.

"Cuma, pihak berwajib dan pemaju perlu pantau bagaimana projek itu boleh dijalankan tanpa menyusahkan penduduk setempat. Saya sudah adukan masalah ini kepada ketua kampung, tetapi tiada pihak tampil bayar ganti rugi," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Rinching Hilir, Abd Malek Ridzwan, 70, tidak menolak kemungkinan projek pembangunan berhampiran menyumbang kepada masalah banjir di kampung itu.

"Nak cakap soal banjir ini memang isu lama, cuma sejak 2014 ia semakin menjadi-jadi dan sudah sampai ke pengetahuan kerajaan negeri.

"Tak dinafikan taburan hujan lebat sejak kebelakangan ini antara puncanya, namun parit sedia ada pun sudah tak dapat tampung air yang akhirnya akan melimpah sampai depan rumah.

"Bukan hanya rumah penduduk, pusat tahfiz dan reban ayam juga terjejas banjir," katanya yang memberitahu banjir juga disebabkan limpahan kolam takungan berhampiran.

Abd Malek berkata, wakil rakyat kawasan itu sudah dimaklumkan masalah terbabit dan pertemuan dengan pemaju projek juga diadakan yang dipengerusikan pentadbir daerah serta lain-lain agensi termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Katanya, tinjauan oleh pihak berkuasa juga sudah dilakukan untuk mengenal pasti punca banjir.

"Masalah sudah terlalu lama namun sampai sekarang belum ada penyelesaian jangka panjang. Sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil langkah sewajarnya, demi kebajikan penduduk.

"Kita tidak mahu berlaku bencana lebih buruk," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 7:02 AM