ELLY jantan kelihatan duduk di atas kepala Mohd Ali Ridza ketika berjalan di sebuah pusat beli-belah. FOTO ihsan Mohd Ali Ridza Abdul Latiff
ELLY jantan kelihatan duduk di atas kepala Mohd Ali Ridza ketika berjalan di sebuah pusat beli-belah. FOTO ihsan Mohd Ali Ridza Abdul Latiff
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Manjanya kucing 'oyen' diberi nama Elly kerana sukar untuk berenggang dengan tuannya, Mohd Ali Ridza Abdul Latiff.

Buktinya dapat dilihat menerusi video tular di TikTok yang dimuat naik Muhammad Arib Fuddin, 22, iaitu anak kepada Mohd Ali Ridza, 61.

Dalam video berkenaan, Elly yang juga kucing jantan kelihatan duduk di atas kepala Mohd Ali Ridza ketika lelaki itu berjalan di sebuah pusat beli-belah.

Gelagat Elly menarik perhatian pengunjung pusat beli-belah berkenaan malah rata-rata netizen turut geram melihat kecomelan haiwan berkenaan.

Bercerita lanjut, Muhammad Arib Fuddin berkata, Elly dikutip bapanya di jalanan kira-kira empat bulan lalu kerana kasihan melihat haiwan itu yang enggan disusukan ibunya.

Menurutnya, Elly kemudian dibawa ke rumah dan sejak itu tinggal bersama keluarganya.

"Kiranya sejak kecil lagi Elly tinggal dengan kami sekeluarga.

"Ikutkan, Elly kucing yang aktif cuma jarang dibawa ke luar rumah terutama tempat sesak dengan orang ramai.

"Mungkin sebab itu, Elly nampak takut dan duduk di kepala ayah seperti dalam video yang tular di TikTok kerana berasa lebih selamat.

"Elly yang naik sendiri atas kepala ayah kerana pada awalnya, ayah mendukungnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhammad Arib Fuddin berkata, perkongsiannya di TikTok itu sekadar untuk berkongsi kenangan bapanya bersama Elly di platform berkenaan.

"Video itu dirakam oleh orang lain sebenarnya namun saya minta rakaman berkenaan daripadanya kemudian muat naik di TikTok.

"Ketika itu, ayah dan adik ke ekspo kucing di sebuah pusat beli-belah dengan membawa Elly.

"Rata-rata yang menonton video berkenaan memberi komen positif malah ramai minta saya muat naik lagi video Elly kerana nak tahu perkembangannya.

"Cuma, saya bekerja dan tak banyak masa di rumah malah adik yang banyak menguruskan  Elly," katanya.

Muhammad Arib Fuddin berkata, terlalu banyak kenangan dicipta keluarganya  bersama kucing berkenaan.

"Elly ini ada kisahnya tersendiri kerana pernah dua kali nyaris mati ketika dalam jagaan kami.

"Pertama, Elly hampir lemas sewaktu dimandikan tetapi selamat selepas diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan kedua akibat terpijak kerana tidak sengaja hingga ada masalah usus.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga terus berusaha menjaganya selain beri makan dan minum yang cukup sehingga badannya membesar seperti sekarang.

"Ikutkan, kami sekeluarga memang pencinta kucing malah suka beri haiwan itu makan setiap kali nampak di tepi jalan.

"Cuma, buat masa ini, kami hanya memelihara Elly dan seekor lagi kucing jantan diberi nama Gemuk yang menjadi temannya untuk bermain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 7:14 PM