Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Usaha sepasukan anggota bomba menyelamatkan seekor kucing 'merajuk' yang tersangkut di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Shahab Perdana, Jumaat lalu kini tular di laman sosial.

Video berdurasi 26 saat itu menunjukkan seorang anggota bomba cuba memujuk kucing berkenaan yang pada awalnya bertindak garang.

Telatah haiwan comel yang seakan-akan 'merajuk' itu dirakam Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah yang kemudian memuat naik kejadian itu di laman tiktok miliknya, @Hazmat_King.

"Pujuk sampai dapat," tulisnya melalui kapsyen yang dimuat naik melalui video berkenaan.

Bagaimanapun, rata-rata netizen menyamakan kucing itu seperti 'teman wanita merajuk" dan memuji tindakan anggota bomba berkenaan menyelamatkan nyawa, tanpa mengira sama ada misi mereka membabitkan manusia atau haiwan.

Aksi anggota bomba yang cuba memujuk seekor kucing 'merajuk' ketika tersangkut di tingkat atas sebuah bangunan. FOTO Ihsan Bomba.
Aksi anggota bomba yang cuba memujuk seekor kucing 'merajuk' ketika tersangkut di tingkat atas sebuah bangunan. FOTO Ihsan Bomba.

Video yang ditular sejak semalam itu meraih ratusan ribu tontonan serta lebih 1,000 perkongsian.

Ahmad Naufal ketika dihubungi berkata, anggotanya yang bertindak 'hero' dalam video itu adalah Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Nor Zulkifli Mat Rejab.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.20 petang Jumaat lalu.

Ketika tiba di lokasi, terdapat seekor kucing tersangkut di tingkat tiga bangunan di kawasan Shahab Perdana, Mergong.

"Anggota kemudiannya memasang tangga bomba ke bangunan berkenaan sebelum menangkap kucing itu dan membawanya turun.

"Operasi menyelamat kucing itu akhirnya berjaya " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 10:34 PM