Pelakon filem Sue-On, Reen Rahim pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di GSC Starling Mall. FOTO GENES GULITAH
Pelakon filem Sue-On, Reen Rahim pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di GSC Starling Mall. FOTO GENES GULITAH
Ridzuan Abdul Rahman

 

Petaling Jaya: Pelakon Reen Rahim, 34, menganggap setiap pengorbanan yang dilakukan manusia pasti akan digantikan dengan kebahagiaan akhirnya. 

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim yang berkahwin dengan Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin berkata, dia sendiri terpaksa menangguhkan perancangan memiliki anak pada tahun ini kerana berkorban demi kerjaya.

"Saya sebenarnya ada kontrak dengan 

perlumbaan kereta acara Toyota Gazoo Racing yang perlu dihabiskan pada tahun ini. Jadi dalam tempoh setahun ini memang tak boleh nak mengandung. 

"Jadi saya fikir positif anggap kami berbulan madu selama setahun. Syukur suami dan keluarga memahami serta beri sokongan penuh.

"Pada saya, sebenarnya apa yang kita lalui bukan kebetulan dan semua dah tertulis. Allah tahu yang terbaik untuk kita," katanya ditemui pada Malam Gala filem Sue-On di sebuah pusat membeli belah di sini, Selasa lalu. 

Pasangan ini bergelar suami isteri pada 24 Disember lalu dan hari ini, Reen meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung sebelah suaminya di Sungai Besar, Selangor.

Sementara itu, Reen tampil melakonkan watak hantu jelita dari Korea bernama Sue-On menerusi filem terbitan Datuk Awie yang diarahkan oleh Ajiboy. 

"Ini watak hantu pertama saya diminta jadi manja. Boleh dikatakan ia cerita hantu 'friendly' buat pertama kalinya yang ada di negara kita. 

"Ia juga pertama kali saya digandingkan dengan otai-otai dalam lakonan yang juga pelakon komedi. Agak sukar dan saya kena alih fokus beraksi dengan Ropi dan Joey. 

"Selepas ini kalau berlakon lagi dengan pelawak, saya dah tahu permainan mereka. Memang pengalaman baru nak kontrol gemuruh dan fokus dengan pelawak," katanya. 

Selain Reen, Sue On turut dibintangi Datuk Awie, Ropie, Shawani, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Joey Daud, Achey, serta penampilan khas aktres jelita Erra Fazira dan kumpulan rock, Wings.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 5:06 PM