UQASHA Senrose. FOTO Mahzir Mat Isa
UQASHA Senrose. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal

Bukan saja bersandarkan paras rupa jelita, Uqasha Senrose juga berbakat besar untuk melangkah jauh dalam bidang lakonan.

Tidak hairanlah dia dilamar pengarah terkenal Mamat Khalid untuk beraksi dalam filem hebat Hantu Kak Limah yang juga francais keempat kisah Kampung Pisang.

Ia bermula dengan filem Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Secara peribadi, Uqasha mengakui dia sukar menolak tawaran untuk berlakon dalam filem itu.

“Sebenarnya, saya dihubungi penerbit filem ini, Gayatri Su-Lin Pillai yang menghantar pesanan menerusi ‘Direct Message’ di Instagram.

“Menurut Gayatri, pihaknya sudah lebih dua bulan mencari saya untuk menawarkan projek filem ini.

“Saya juga menganggap tawaran berlakon dalam Hantu Kak Limah sebagai peluang keemasan dan platform untuk mengembangkan bakat lakonan ke filem selepas ini,” katanya.

Sebagai wajah baru ditampilkan dalam filem Hantu Kak Limah, Uqasha tidak dapat menafikan perasaan gementar bekerjasama buat pertama kali dengan Mamat.

“Saya melakonkan watak gadis cantik dan misteri dari alam bunian dalam cerita ini. Saya hanya bermain dengan karakter seperti dikehendaki pengarah dan skripnya,” katanya.

Ditanya pengalaman sukar dilupakan pula, kata Uqasha, ia membabitkan lokasi di kawasan menyeramkan di Perak sebelum ini.

“Saya difahamkan lokasi penggambaran itu memang di perkampungan bunian dan saya tidak tahu pun ia kawasan berhantu.

“Saya tidak berasa ada kejadian pelik, tetapi kru yang beritahu saya nampak berbeza ketika penggambaran sebelum ini.

“Pada masa sama, saya juga memakai kostum gadis bunian dan rambut palsu untuk menjiwai watak terbabit,”katanya.

Bukan saja Mamat, Uqasha turut gementar ketika melakonkan babak romantik dengan pelakon utama Datuk Awie dalam filem itu.

“Pada mulanya, saya berasa takut dan malu untuk berganding dengan Awie tetapi dia juga beri aura positif dan buat saya selesa dengannya.

“Saya juga tidak tahu watak gadis bunian itu, tetapi Abang Mamat mahu saya nampak anggun. Saya sudah berusaha berikan yang terbaik dan sangat berharap peminat filem ini menerima kehadiran saya dalam filem ini,”katanya.

Selain Awie dan Uqasha, Hantu Kak Limah mengekalkan Delimawati sebagai teraju utama.

Selain itu, turut berlakon ialah Allahyarham Rab Khalid, Erra Fazira, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Jue Aziz, Mus MAY, Pekin Ibrahim, Sharwani NS, Datuk Seri Vida dan TJ Isa.

Ia mula ditayangkan di seluruh negara mulai esok.

Teruskan kerjaya lakonan

Walaupun namanya tidak sunyi dilanda kontroversi, Uqasha bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah dalam bidang lakonan ketika ini.

Menurut Uqasha, setakat ini tawaran berlakon juga tidak pernah putus daripada pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat kepercayaan daripada pengarah drama sampai sekarang. Saya baru selesai penggambaran drama bersiri Rahsia Hati Perempuan,”katanya.

Selain itu, Uqasha bakal terbabit dalam projek drama bersiri yang belum ada judulnya bergandingan dengan Fattah Amin untuk saluran Astro Ria.

“Tidak ketinggalan, saya juga bakal berganding lagi dengan Fattah dan Alif Aziz dalam drama Biar Jadi Kaktus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 8:31 AM