KAZAR (kiri), Dewa Sapri (tengah) dan Ngasrizal pamer lakonan cemerlang.
KAZAR (kiri), Dewa Sapri (tengah) dan Ngasrizal pamer lakonan cemerlang.

JUDUL: Kampong Pisang Bersiri-Siri

PENGARAH: Mamat Khalid

PELAKON: Kazar, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Mat London, Dewa Sapri, Avaa Vanja, Nazeera Sardi, Datuk Awie, Hazama, Ellie Suriaty, Pekin, Delimawati, Ozlynn, Soffi Jikan, Joey Daud, Kamarool Hj Yusof, Imuda, TJ Isa, Adam AF, Azlan Komeng, Ayie Hushairi, Faizal Chal, Nasir Jani, Soya dan Shuk Sahar

TERBITAN: Astro Originals

TAYANGAN: Astro Ria/Astro Citra

ULASAN: Riadz Radzi

Ulasan filem/drama ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem/drama berkenaan.

DALAM puluhan drama bersiri yang saya tonton di semua saluran televisyen tempatan sejak awal tahun ini, Kampong Pisang Bersiri-Siri yang mula ditayangkan di saluran Astro Citra dan Astro Ria, Isnin lalu paling saya nantikan.

Drama bersiri arahan Mamat Khalid ini menggabungkan francais filem Kampung Pisang tulisan dan arahannya seperi Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Zombie Kilang Biskut dan Hantu Kak Limah. Drama 12 episod ini ditayangkan setiap Isnin jam 9 malam.

Secara peribadi, saya adalah peminat karya Mamat sejak dia menghasilkan telefilem seperti Namaku Yassin, Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel, Pinang Durian, Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys dan Arbaie Bujang Kembali.

Begitu juga dengan filemnya seperti Lang Buana, Man Laksa, Amir & Loqman Pergi Ke Laut, Kala Malam Bulan Mengambang, Rock dan Rock Oo!

Mamat sebenarnya tersendiri. Idea, cara pengarahan, penulisan skrip, lakon layar, dialog hinggalah kepada pemilihan pelakon, cara Mamat berbeza berbanding pengarah lain. Kita boleh tahu itu filem atau drama Mamat Khalid walaupun kita tidak diberitahu siapa pengarahnya.

Bercerita mengenai Kampong Pisang Bersiri-Siri ini, ia adalah drama bersiri pertama arahan Mamat. Anak jati Ipoh ini dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, menghasilkan drama bersiri ini satu cabaran baharu buatnya kerana ia pertama kali buatnya.

"Saya perlu mengekalkan kualiti dan 'end result' setanding filem. Untuk itu, teknik teknologi pengimejan dilakukan oleh tenaga pakar di Australia dan proses adunan audio dan bunyi pula dilakukan di Thailand," katanya.

KAMAROOL sebagai bomoh Siam, Chomprak.
KAMAROOL sebagai bomoh Siam, Chomprak.

Selepas menonton episod pertamanya iaitu Toyol Oh Toyol, mungkin masih terlalu awal untuk menilai drama bersiri ini secara keseluruhan.

Apa yang dapat dilihat ialah Mamat masih mengekalkan ramuannya yang kerap kita lihat dalam filem dan telefilem arahannya sebelum ini. Dengan menggabungkan filem dari francais Kampung Pisang termasuk pelakon dari telefilem 16 Puasa dan 17 Puasa, Mamat berjaya mengolah Kampong Pisang Bersiri-Siri ini mengikut acuannya sendiri.

Dalam episod pertama ini, saya sukakan watak Barkoba lakonan Ngasrizal Ngasri dan lakonan Kamarool Hj Yusof sebagai bomoh Siam, Chomprak serta Soffi Jikan sebagai bomoh Indonesia, Joko Annuar. Kedua-duanya dari filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Ia turut menampilkan lakonan pengarah yang juga Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Mat London sebagai Pak Karim. Misai melintang, berkemeja-T Pagoda, tali pinggang era nenek moyang yang terselit parang serta mimik muka Mat London yang sememangnya bengis membuatkan dia sesuai membawa watak itu.

Namun, watak Pak Jabit lakonan Aziz M Osman yang menggantikan Allahyarham Man Kadir belum teruji lagi. Saya menantikan lakonan mantap Aziz dalam episod seterusnya.

WATAK Joko Annuar, bomoh Indonesia lakonan Soffi yang sebelum ini dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.
WATAK Joko Annuar, bomoh Indonesia lakonan Soffi yang sebelum ini dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Saya yakin, penggemar dan pengikut karya Mamat Khalid akan berpuas hati dengan Kampong Pisang Bersiri-Siri ini. Jika ada sukakan francais filem Kampung Pisang dan selesa dengan cara olahan dan pengarahan Mamat, ini tidak akan mengecewakan anda.

Episod 2 berjudul Hantu Rempit jam 9 malam Isnin ini diharapkan akan meneruskan kecemerlangan drama bersiri ini yang turut menampilkan penyanyi popular, Hazama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:30 AM