BAZAR Ramadan membuka peluang rakyat menambah pendapatan.
BAZAR Ramadan membuka peluang rakyat menambah pendapatan.
Muhammad Saufi Hassan

Ramadan sememangnya bulan yang dinantikan, bukan saja untuk melipat gandakan amal ibadat sebaliknya ia bulan yang penuh kemeriahan.

Sebut saja Ramadan, pasti terbayang bazar Ramadan dan setiap individu tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai juadah berbuka.

Namun, timbul satu persoalan berhubung tahap perbelanjaan sepanjang bulan ini.

Bagi mendapatkan gambaran lanjut, ikuti wawancara Timbalan Dekan Siswazah, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) PROF MADYA DR MOHD HIZAM HANAFIAH bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Ramadan, bulan menambah ibadat atau memenuhi nafsu seperti beli-belah serta beli makanan?

Ramadan adalah bulan barokah, di dalamnya ada malam paling barokah.

Umat Islam diminta berpuasa kerana Allah SWT dan hadis menyebut bahawa sesungguhnya, puasa itu untuk Allah SWT.

Sewajarnya kita menambah amal ibadat di bulan yang mulia ini. Selain bertarawih, kita disarankan banyakkan bersabar, beristighfar dan membantu sesama Muslim sebagai contoh.

Untuk mengatakan bahawa umat Islam tidak perlu membeli-belah atau berbelanja
di bazar Ramadan tidak kena juga, memandangkan memakai pakaian baharu dan cantik di Aidilfitri merupakan sunah Rasulullah SAW.

Memandangkan fardu berpuasa ini berlangsung sebulan, maka sebahagian umat Islam membeli pakaian untuk Aidilfitri di bulan Ramadan.

Maka, bagi saya ini tidak menjadi isu asalkan bersesuaian dengan pendapatan.

Begitu juga dengan membeli makanan di bazar Ramadan. Ia adalah satu keperluan kerana suami/isteri atau golongan wanita tidak sempat memasak apabila sampai di rumah untuk berbuka (malah ada yang berbuka dalam pengangkutan awam).

Bahkan, bazar Ramadan membuka peluang rakyat menambah pendapatan, menjadi satu budaya dalam masyarakat, masyarakat bukan Muslim juga mengambil kesempatan membeli makanan selain menjadi produk baru industri pelancongan.

Perkara yang menjadi isu adalah berbelanja besar dan membazir ketika berbelanja di bazar Ramadan.

Selama 13 jam setengah menahan lapar itu diganti dengan makan berlebihan dan membazir.

Belanja makanan meningkat dengan besarnya, apatah lagi jika sekeluarga berbelanja untuk bufet Ramadan. Adakah itu manfaat Ramadan?

Ramai yang terkesan ketika ini seperti mangsa banjir, individu kehilangan kerja dan sebagainya. Bagaimana Ramadan mampu mengajar kita menjadi lebih ihsan kepada mereka yang kurang bernasib baik?

Puasa bukan sekadar menahan lapar, dahaga dan mengawal hawa nafsu.

Sepanjang Ramadan, kita sebenarnya berlatih sebulan untuk menjaga mata, telinga dan hati kita, moga-moga kita istiqamah dengan ibadat dan amalan baik kita selepas Ramadan dan sepanjang hidup kita.

Namun, hakikatnya, ramai yang berpuasa, tetapi tidak mendapat manfaat seperti lebih bersabar, hidup sederhana, peduli kepada orang susah dan banyak bersyukur.

Ramadan sepatutnya mengajar kita menjadi lebih empati dengan golongan susah dan fakir miskin.

Kita digalakkan banyakkan bersedekah dan membantu golongan memerlukan.

Itu antara hikmah dan manfaat puasa Ramadan. Akan tetapi, hikmah dan manfaat ini kita tidak akan dapat mencapainya jika kita hanya fokus kepada menahan lapar dan dahaga selain 'balas dendam' apabila berbuka.

Berapakah anggaran perbelanjaan setiap hari keluarga Islam di bazar Ramadan?

Saya tidak mengkaji perkara ini dan tidak dapat memberikan anggarannya.

Ini kerana setiap keluarga mempunyai anggaran perbelanjaan berbeza-beza mengikut kemampuan masing-masing.

Saya sendiri, sebagai contoh, walaupun mampu, tidak membeli di bazar Ramadan pada setiap hari.

Namun, saya mengharapkan umat Islam memahami, puasa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.

Kita perlu fokuskan kepada manfaat rohani yang boleh dicapai dalam bulan Ramadan ini.

Apakah rohani kita semakin mantap sepanjang Ramadan dan selepasnya?

Bagaimana pula dengan anggaran persiapan Aidilfitri dan apakah perbelanjaan masih sama memandangkan kebanyakan ibu bapa banyak berhabis untuk sesi persekolahan baharu?

Bagi golongan atasan, mereka tidak terjejas dan membuat persiapan seperti biasa.

Bagi golongan bawahan dan sebahagian golongan menengah, saya pasti, persiapan Aidilfitri tidak semeriah dahulu.

Pandemik Covid-19 menyebabkan banyak perniagaan tutup dan rakyat kehilangan pekerjaan.

Ramai yang mula berniaga kecil-kecilan dan menjual di platform e-dagang.

Bagi saya, rakyat perlu utamakan keperluan, bukan kehendak. Membeli barang keperluan, elakkan berbelanja barang tidak perlu atau berbelanja ikut nafsu. Carilah peluang menambah pendapatan, yang penting kita perlu rajin.

Apakah bantuan yang dirasakan wajar untuk menyantuni golongan tertekan seperti B40.

Yang pertama adalah bantuan wang tunai. Apa sahaja bantuan diberikan kerajaan dahulu atau sekarang, teruskanlah.

Golongan B40 amat terdesak, bukan masalah nak sambut raya, nak sahur dan iftar pun tidak ada atau tidak cukup makanan.

Kedua, berkaitan pendidikan. Pengecualian yuran atau apa saja bentuk bayaran untuk anak B40 (sekolah, kolej dan universiti).

Di Indonesia, yuran pengajian dikenakan berdasarkan kemampuan keluarga. Dalam pada itu, 95 peratus peluang memasuki MRSM dan SBP harus diberikan kepada golongan B40.

Kembalilah ke tujuan dan falsafah asal MRSM/SBP. Seorang anak B40 yang berjaya dalam hidupnya mampu membawa keluarganya keluar daripada garis kemiskinan.

Ketiga adalah, kerajaan perlu menambahbaik dasar fiskal untuk perniagaan sosial (PS).

Di negara maju, PS berkembang dan membiak, menawarkan pelbagai produk berkualiti dengan harga amat rendah.

Keempat, kerajaan perlu mengutamakan rakyat tempatan dalam mendapat peluang pekerjaan.

Saya sedih apabila ada pihak bercadang membina kemudahan penginapan untuk pekerja asing serta melobi kerajaan membawa masuk lebih ramai pekerja asing.

Sedangkan begitu ramai rakyat kita tidak memiliki penginapan sendiri, tidak mendapat gaji yang sesuai dan berpenat-lelah dalam mencari sesuap nasi.

Banyak kajian menunjukkan kadar gaji di Malaysia yang rendah, tidak sepadan dengan kos sara hidup yang meningkat.

Langkah Sime Darby menaikkan gaji pekerja tempatan baru-baru ini perlu dicontohi.

Perkara terakhir adalah menambahbaik dasar berkaitan keperluan asasi manusia iaitu makanan, pakaian, penginapan, pendidikan, dan kesihatan.

Apakah pemimpin boleh tersenyum dan tidur lena ketika rakyat tidak cukup makan, gaji tidak sepadan, tidur di pondok dan anak tercicir ke sekolah di ketika orang asing mendapat nikmat di bumi Malaysia?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 8:00 AM