Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Setiap Muslim bersaudara. Apabila sebut saja Islam, setiap umatnya saling kuat-menguatkan antara satu sama lain. Tiada dalam kamus kehidupan orang Islam sifat keakuan, sebaliknya mereka hidup dalam suasana umat yang satu.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku.” (Surah al-Anbiya, ayat 92)

Persaudaraan sesama umat Islam amat rapat sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim mafhumnya: “Perumpaan orang Mukmin dalam saling berkasih sayang dan perasaan belas kasihan dan rasa simpati mereka adalah seperti tubuh badan yang satu. Apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh badan turut merasai letih dan penat (tidak sihat).”

Meskipun status kehidupan berbeza-beza, ada yang kaya dan miskin, namun keadaan ini tidak sekali-kali membuatkan setiap Muslim hidup dalam dunia masing-masing tanpa menghiraukan orang lain.

Lihat saja ibadat puasa pada Ramadan yang sedang kita jalani ini. Setiap Muslim tidak kira daripada golongan kaya, lebih-lebih lagi yang tidak berkemampuan semuanya menahan diri daripada makan dan minum.

Kita dituntut tidak makan dan minum pada waktu siang, antaranya untuk sama-sama merasai erti kesusahan dan keperitan yang dirasai oleh golongan fakir dan miskin.

Setiap daripada kita merasai apa yang dikatakan sebagai ‘lapar’ dan ‘dahaga’. Perasaan yang dilalui setiap Muslim pada bulan ini sepanjang hari adalah sama.

Lihatlah situasi ini dengan mata hati, betapa Islam membuat satu ketetapan yang sangat indah dalam merapatkan jurang kehidupan sesama umatnya.

Jika inilah antara hikmah yang perlu kita rasai pada Ramadan iaitu sama-sama merasai kesusahan dihadapi oleh golongan fakir dan miskin, maka sepatutnya kita sentiasa terus menyemai sifat bersederhana ketika berbelanja.

Sebagai contoh, ketika berada di bazar Ramadan, kawallah nafsu kita. Jangan biarkan ia menguasai diri sehingga membawa kepada pembaziran.

Nafsu perlu dikawal bukan saja ketika berpuasa pada siang hari, tetapi yang lebih perlu diberi perhatian adalah keghairahan menikmati juadah makan dan minum ketika berbuka.

Tidak wajar sekiranya ada dalam kalangan kita seolah-olah membuat tayangan dan menunjuk-nunjuk aneka juadah berbuka puasa, sedangkan ramai lagi di luar sana yang tiada apa-apa untuk dimasukkan ke dalam mulut tatkala berkumandangnya azan Maghrib.

Islam bukan sekadar menetapkan yang setiap orang Islam perlu merasai kesusahan ditanggung golongan fakir dan miskin dengan berpuasa, malah turut menganjurkan umatnya untuk memperbanyakkan sedekah pada Ramadan.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang yang dermawan khususnya pada Ramadan. Baginda lebih dermawan lagi pada Ramadan. Sifat dermawan Baginda melebihi angin yang berhembus.

Sifat dermawan Rasulullah SAW pada Ramadan turut menjadi ikutan sahabat dan golongan salafussoleh (generasi soleh terdahulu).

Banyak riwayat yang menjelaskan sifat dermawan sahabat seperti yang dilakukan oleh Ibnu Umar. Beliau tidak berbuka pada Ramadan kecuali memanggil anak yatim dan orang miskin untuk turut berbuka puasa bersamanya.

Ganjaran yang besar dikurniakan kepada mereka yang memberi makan kepada orang lain untuk berbuka puasa.

Justeru, ketika membeli juadah untuk berbuka puasa, ingatlah juga jiran dan saudara seagama terutama mereka yang fakir dan miskin.

Usah hanya memikirkan kenikmatan untuk perut sendiri sehingga lupa kesusahan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa memberi buka orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa itu, tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu sedikit pun.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Penulis pensyarah UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 3:56 PM