MUKA depan Harian Metro mengenai kehilangan MH370 pada 26 Mac 2014.
MUKA depan Harian Metro mengenai kehilangan MH370 pada 26 Mac 2014.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahaudin dan Nurul Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Jika boleh kami sekeluarga tidak mahu membuka cerita ini lagi (kehilangan pesawat MH370) di hadapan Mak Cak kerana dia akan sedih," ujar Mohamad Sharil Shaari.

Dia adalah sepupu kepada Mohd Razahan Zamani, 24, seorang daripada 227 penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sehingga kini.

Menurutnya, ibu saudaranya akan berubah emosi sekiranya bercerita mengenai kehilangan pesawat penerbangan berkenaan.

"Kami tidak lagi menyentuh isu itu jika bertemu, kadang-kadang dia yang bercerita sendiri dan akan mula berubah emosi kerana teringatkan anaknya itu.

"Kita tidak mahu Mak Cak (Kamariah Sharif, 64) bersedih, sebab itu tak mahu lagi bercerita mengenai perkara ini, lagi pun kami juga sudah menerima perkara ini," katanya.

MOHD Khairul Amri
MOHD Khairul Amri

Mengulas berhubung pencarian MH370 tidak akan dihentikan, Mohamad Shahril berkata, perkara itu seharusnya diteruskan sehingga pesawat itu ditemui.

"Waris juga ada hak untuk meminta kepada kerajaan meneruskan pencarian pesawat berkenaan dan ia seharusnya diteruskan.

"Adalah sesuatu yang mustahil pesawat sebesar itu boleh hilang begitu sahaja. Walaupun sudah lama berlalu, tetapi saya yakin semua keluarga masih mengharapkan ada jawapan di sebalik kehilangan itu," katanya.

Mohd Razahan dan Isterinya, Norlia Akmar Hamid, 33, antara penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.

Mereka yang sudah berkahwin selama dua tahun baru berkesempatan untuk berbulan madu ketika itu.

MOHD Razahan Zamani
MOHD Razahan Zamani

Bapa mahu tahu apa yang berlaku

"Sebagai bapa, saya cuma mahu tahu apa sebenarnya berlaku pada anak. Saya tidak tahu bila penantian ini akan berakhir," ujar Selamat Omar, 69.

Beliau adalah bapa kepada Mohd Khairul Amri yang juga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang tanpa jejak sejak 8 Mac 2014.

Selamat berkata, dia dan ahli keluarganya sudah lama reda dengan tragedi itu namun mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku terhadap pesawat berkenaan.

"Jika ada petunjuk, memang perlu untuk kerajaan meneruskan pencarian pesawat itu.

"Namun jika tiada petunjuk yang sahih, tidak perlu melakukan pencarian kerana tindakan itu seolah-olah membuang masa dan wang," katanya semalam.

Menurutnya, meskipun reda dengan tragedi berkenaan, beliau masih mahu mengetahui apa sebenarnya yang menimpa pesawat berkenaan.

"Apa yang saya mahu bangkitkan adalah sama ada pesawat itu jatuh atau berlaku konspirasi lain di sebalik kejadian itu.

"Sekurang-kurangnya, ahli keluarga menjadi tenang apabila mengetahui apa sebenarnya berlaku.

"Keadaan kita seperti tiada arah. Nak kata sudah mati pun tidak sebab mereka masih hilang. Saya sendiri tidak tahu sampai bila penantian ini akan berakhir," katanya.

Beliau juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu menyelesaikan misteri kehilangan MH370 seperti yang pernah disuarakan pemimpin berkenaan sebelum ini.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, menegaskan beliau tidak akan sesekali menghentikan usaha mencari atau siasatan berhubung tragedi yang menimpa pesawat MAS MH370.

Beliau dipetik berkata, kerajaan tidak pernah melupakan tragedi yang berlaku pada 8 Mac 2014 itu.

WAN Swaid Wan Ismail
WAN Swaid Wan Ismail

Belum kuat untuk bercerita

Hari ini, genap sembilan tahun kehilangan pesawat MH370, namun kehilangan penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysia Airlines itu masih dirasai waris yang saban hari mengingati dan mendoakan mereka.

Nurlaila Ngah @ Awang yang juga isteri kepada ketua pramugara leading steward, Wan Swaid Wan Ismail berkata, kejadian yang berlaku hampir sedekad masih sukar dilupakan.

"Biarpun reda dengan kehilangan suami namun ia tidak pernah membuatkan saya dan tiga anak melupakan Wan Swaid," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur masih ada pihak yang mengingati kehilangan pesawat MH370 hingga kini.

Bagaimanapun dia mengakui masih belum kuat untuk terus bercerita lanjut mengenainya saat ini.

"Alhamdulillah, tiga anak saya sudah meningkat dewasa. Mereka kini berusia 17 hingga 21 tahun. 'Pemergian' suami sembilan tahun lalu masih saya rasai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 12:00 PM