Orang ramai menurunkan tandatangan ketika majlis Hari Kenangan Dua Tahun Pencarian MH370 di Publika, Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Abdullah Yusof
Orang ramai menurunkan tandatangan ketika majlis Hari Kenangan Dua Tahun Pencarian MH370 di Publika, Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Abdullah Yusof
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Apa sahaja laporan atau kenyataan daripada pihak berkuasa sekarang ini tidak memberi apa-apa perbezaan bagi saya dan keluarga.

"Hidup mesti diteruskan dan anak-anak membesar tanpa bapalah," kata Nur Laila Ngah, 42, isteri kepada pramugara kanan, Wan Swaid Wan Ismail, seorang daripada anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Dia yang ketika ini menetap di Nilai, Negeri Sembilan bersama ibu bapanya, tidak bekerja dan hanya menguruskan tiga anak berusia 10,12 dan 14 tahun.

Nur Laila berkata, dia ada menerima kenyataan mengenai laporan interim kedua daripada MAS dan kerajaan, tetapi belum membacanya.

Sementara itu, Maira Elizabeth Nari, 20, anak kepada ketua pramugara, Andrew Peter Nari berkata, dia ada menerima kenyataan berkenaan menerusi e-mel.

"Saya memang selalu terima maklumat perkembangan MH370 menerusi e-mel dan ada terima kenyataan mengenai laporan berkenaan, tetapi belum baca.

"Kita terima kalau mereka balik ke, tidak balik ke dan mengenai pencarian itu pada pendapat peribadi saya... entah, tidak tahu nak cakap apa," katanya.

Ketika ditanya apakah perkara yang paling dirindui mengenai ayahnya itu, ini jawab Maira.

"Kehadirannya. Everything about him (semua mengenai dia)," katanya yang sedang mengikuti pengajian Komunikasi Massa di Kolej SEGI dan tinggal di Puchong, Selangor bersama ibu dan adik lelakinya.

Bagi Zamani Zakaria, 58, bapa kepada penumpang pesawat berkenaan, Ahmad Razahan Zamani, dia juga ada menerima panggilan daripada kumpulan sokongan MAS mengenai perkembangan insiden berkenaan.

"Mereka ada menelefon kata mahu e-melkan kepada saya, tetapi saya tiada e-mel dan tidak tahu perkembangan selanjutnya kerana saya sedang bekerja.

"Saya juga tidak dapat saksikan siaran langsung itu di televisyen kerana sedang bekerja, jadi tidak tahu apa," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, keadaan keluarganya kini masih seperti hari pertama insiden berkenaan berlaku dua tahun lalu.

"Keadaan keluarga sekarang sejak hari pertama sama macam itu saja. Anak-anak yang lain okay, tetapi orang rumah (isteri) saya masih bersedih," katanya ketika dihubungi petang tadi.

Kenyataan interim berhubung kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370 dikeluarkan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia petang tadi.

Kenyataan itu dibacakan oleh Ketua Penyiasat ICAO, Datuk Kok Soo Chon yang antara lain memaklumkan ICAO sedang menganalisis lapan bidang perkara berkaitan tragedi kehilangan pesawat itu.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac, 2014, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 5:32 PM