DATUK Jamal Nasir. -FOTO Arkib NSTP
DATUK Jamal Nasir. -FOTO Arkib NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menolak dakwaan wujudnya 'tokong' dalam bola sepak tempatan hingga mengakibatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) tidak dapat berentap secara adil.

Jelas Jamal Nasir, bola sepak negara sememangnya dari dulu wujud pelbagai kelemahan namun ia sentiasa diperbaiki dan ditambah baik sama ada oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Mana boleh kata ada 'tokong' kerana dari dulu lagi bola sepak kita macam itu. Dulu zaman saya kita berjaya lahirkan empat hingga lima pemain terbaik seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, tetapi selepas itu bola sepak kita tak ke mana pun.

"Tetapi FAM cuba melakukan perubahan demi perubahan agar bola sepak kita jadi profesional. Bola sepak ini bukanlah buat hari ini terus nak jadi sempurna, ia perlukan proses jangka panjang.

"Jadi janganlah kita nak cakap ada tokong atau apa-apa, kerana dari dulu lagi masalah dalam bola sepak kita ini sentiasa ada," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Liga M tidak boleh berlangsung adil kerana wujudnya 'tokong' dalam arena bola sepak tempatan.

Kata Sanusi, bola sepak adalah sukan untuk semua dan bukannya individu, sehingga menyebabkan ada yang perlu menyembah 'tokong'.

Malah Menteri Besar Kedah itu juga memberi contoh berkenaan tindakan pengadil ketika aksi antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC sebagai kejadian luar biasa apabila ia dilanjutkan sehingga 10 minit pada masa kecederaan yang disifatkannya jarang berlaku.

"Soal pengadil beri tambahan masa yang banyak mesti bersebab dan dibuat dengan rasional. Kita kena lihat berapa banyak masa yang dibuang pemain, belum legi cerita kecederaan pemain dan lain-lain lagi.

"Lagipun pengadil adalah 'Raja' di atas padang. Pengadil mungkin gunakan budi bicara dia ketika perlawanan untuk beri tambahan masa. Jadi bagi saya tak perlulah kita nak pertikaikan tentang itu," katanya.

Ujarnya lagi, sebaiknya Sanusi memberi fokus memantapkan pasukan Kedah yang kini dilihat terumbang ambing dalam saingan Liga M.

"Kita ambil kenyataan Sanusi itu sebagai teguran. Tapi sebelum nak komen, saya ingat baik beliau betulkan pasukannya dulu. Tak guna cakap kalau pasukan sendiri pun ada banyak masalah."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 2:50 PM