RASA sedih beraya tanpa ibu tercinta.
RASA sedih beraya tanpa ibu tercinta.
Georgie Joseph


Di sebalik keseronokan sambutan Aidilfitri tahun ini sudah boleh disambut meriah, pasangan penyanyi Syamel dan Ernie tetap mengambil pendekatan bersederhana.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 29, dan Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 30, sekadar berbelanja apa yang patut.

Selain terikat dengan komitmen kerja, sambutan kali ini cukup memberi kesan buat mereka dengan ketiadaan ibu Syamel yang meninggal dunia tahun lalu.

"Raya kami tahun ini sama saja seperti sebelum ini. Maksudnya, bersederhana saja. Tidak tetapkan sasaran nak 10 pasang baju atau apa. Kami sentiasa tengok pada keadaan. Kalau memerlukan baju tambahan untuk tujuan bekerja, kami akan siapkan," kata Ernie.

Syamel berkata, mereka juga bersyukur dapat berkongsi rezeki dengan lebihkan duit raya tahun ini. Apalagi, dua tahun sebelumnya sambutan dikekang dengan pandemik selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka turut sediakan baju raya yang cukup untuk dipakai ke jemputan berhubung kerja. Itupun sudah memadai untuk mereka raikan sebaiknya Aidilfitri kali ini.

SYAMEL dan Ernie puas dapat lancarkan lagu solo raya pertama masing-masing.
SYAMEL dan Ernie puas dapat lancarkan lagu solo raya pertama masing-masing.

"Kami tidak berbelanja lebih-lebih cuma tahun ini kami sediakan duit raya lebih. Kalau tahun lalu ketika PKP, kami tak sediakan sebab tak dapat beraya pun.

"Kami banyak belanja pun bahagian pakaian sebab bukan untuk dipakai beraya saja sebenarnya. Tapi, lebih kepada komitmen bekerja, pakai baju raya untuk memenuhi undangan," katanya.

Ramadan lalu, pasangan ini juga akhirnya melancarkan lagu raya solo masing-masing. Syamel dengan Erti Lebaran manakala Ernie menerusi Zapin Lebaran.

Selalunya tampil dengan lagu duet, namun begitu mereka memutuskan tampil lagu solo demi peminat. Apatah lagi, kedua-duanya memasang hajat tunaikan impian ada lagu raya sendiri.

Ernie berkata, mereka pernah ada lagu duet lagu raya dan kini berasakan sudah tiba masa untuk keluarkan lagu raya solo.

"Saya sendiri pun pertama kali keluarkan lagu solo raya saya dan demikian juga Syamel. Jadi, kami rasa perlu juga memenuhi permintaan daripada peminat kami serta kepuasan diri sendiri. Insya-Allah, mungkin tahun hadapan akan sentiasa ada peluang untuk kembali berduet," katanya.

ERNIE terus rancak bekerja selepas habis berpantang.
ERNIE terus rancak bekerja selepas habis berpantang.

Rasa kurang seri

Pemergian ibu Syamel, Allahyarham Wan Faaizah Karim tahun lalu turut membuatkan seri beraya mereka berbeza tahun ini.

Pasangan itu jelas rindu mendalam terhadap kehadiran Allahyarham yang mesra disapa umi itu.

Walaupun kini dapat meraikan Aidilfitri dengan kehadiran anak, Nur Khawla Soleha, jelas rasa sebak tidak dapat ditepis apabila memikirkan ketiadaan ibu tercinta.

Syamel berkata, Aidilfitri tahun ini berbeza dengan kelahiran anak mereka, Khawla.

"Ini pertama kali beraya bertiga, tapi pertama kali juga beraya tanpa umi. Jadi, memang rasa sedih sangat. Bila sudah tiada, entah tak tergambar perasaan itu," katanya.

Berkongsi perkembangan karier, Ernie pula tidak menafikan kembali rancak dengan pelbagai jadual seni selepas habis berpantang.

Menurutnya, dia agak sibuk juga sebenarnya apabila sudah kembali bekerja.

"Selepas ini, semestinya saya kena sambung balik promosi lagu saya berjudul Korban. Ini kerana, ia terhenti seketika apabila Ramadan bermula dan saya pun tengah berpantang.

"Justeru, saya tak dapat lakukan promosi itu sebagaimana penyanyi lain. Semestinya, saya takkan berhenti dan banyak lagi perancangan akan dilaksanakan.

"Kemungkinan akan lancar lagu solo lagi. Kebelakangan ini saya banyak buat lagu sendiri membuatkan lagi bersemangat dan tak terfikir nak berhenti pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 6:00 AM