SYAMEL dan Ernie kongsi rasa bahagia mereka melalui proses perkahwinan dan memulakan langkah sebagai pasangan suami isteri.
SYAMEL dan Ernie kongsi rasa bahagia mereka melalui proses perkahwinan dan memulakan langkah sebagai pasangan suami isteri.
Syafil Syazwan Jefri


PERKAHWINAN bukan sekadar penyatuan antara dua individu, tetapi juga penyatuan kehidupan.

Bagi pasangan penyanyi, Syamel dan Ernie Zakri yang kini sah bergelar suami isteri, perkahwinan menjadi satu lagi fasa kehidupan yang pada masa sama, membawa karier mereka dapat berkembang seiring.

Ditemui di majlis resepsi yang berlangsung dengan penuh gah baru-baru ini, Syamel dan Ernie berkongsi rasa bahagia mereka melalui proses perkahwinan dan memulakan langkah sebagai pasangan suami isteri.

"Perkahwinan ini umpama pelengkap buat kehidupan. Kehadiran Ernie juga adalah pelengkap dalam hati saya. Kini saya ada teman untuk berkongsi rasa suka, duka, tangis dan tawa bersama Ernie," kata Syamel.

KARIER seni mereka masih lagi berjalan seperti biasa secara solo dan duo.
KARIER seni mereka masih lagi berjalan seperti biasa secara solo dan duo.

Berkongsi mengenai bunga-bunga cinta mereka di awal perkenalan, Syamel berkata, pentas Duo Star menjadi pentas permulaan perkenalan mereka.

"Ketika itu kami berkawan rapat. Sejujurnya, dalam perhubungan kami ini ada naik dan turunnya. Tentunya ada masa kami bermasam muka.

"Ketika merakamkan lagu Aku Cinta pun, hubungan kami berada dalam krisis sebenarnya apabila kedua-duanya 'moody' dan sensitif," katanya.

Bagi Ernie, konflik dalam sesuatu hubungan itu menjadi inspirasi untuk mereka menghasilkan single berjudul Goodbye Hello.

"Kami cuba menzahirkan rasa romantis itu menerusi lagu ini. Kalau menurut interpretasi saya, Goodbye Hello menyentuh mengenai naik turun sesuatu hubungan.

"Andai kata ada pergaduhan atau salah faham, salah seorang akan 'menarik' semula supaya hubungan itu berada dalam landasan yang betul.

"Kiranya, dalam sesuatu perkahwinan itu ada salah faham, benda itu kecil saja dan takkan memutuskan hubungan," katanya.

Selain Ernie dan Syamel, Goodbye Hello juga turut mendapat sentuhan dua komposer lain iaitu Faizal Tahir dan Mike Chan.

PASANGAN pengantin turut diraikan penyanyi Ziana dan Anuar Zain yang juga merupakan ibu dan bapa saudara kepada Ernie.
PASANGAN pengantin turut diraikan penyanyi Ziana dan Anuar Zain yang juga merupakan ibu dan bapa saudara kepada Ernie.

Berkongsi mengenai karier, Syamel dan Ernie akan meneruskan kerja-kerja seni mereka secara profesional.

"Karier seni kami masih lagi berjalan seperti biasa secara solo dan duo. Sekiranya salah seorang ada kerjasama dengan artis lain, tak menjadi masalah.

"Kami bersikap profesional dalam bekerja. Normal kalau sebagai manusia, timbul rasa cemburu dan sebagainya, tapi untuk kerja kami faham satu sama lain. Yang penting, kedua-dua kami akan bergerak seiring dalam karier seni kami," katanya.

Apa yang pasti, mereka mengharapkan agar perkahwinan ini mendapat keberkatan sehingga ke Jannah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:00 AM