AKUI sedih Aidilfitri tanpa mentua, ubati kesedihan dengan kehadiran puteri sulung.
AKUI sedih Aidilfitri tanpa mentua, ubati kesedihan dengan kehadiran puteri sulung.
Georgie Joseph


ENGGAN ketinggalan memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini, penyanyi Ernie Zakri turut menghadiahkan sebuah lagu raya baharu berjudul Zapin Lebaran.

Walaupun baharu bergelar ibu, isteri penyanyi Syamel ini jelas teruja mengubati kerinduan peminatnya dengan lagu baharu.

Lagu ciptaan bersama Yuna Kharisma itu membuatnya begitu bermakna.

Ernie tidak menafikan dia bersemangat melancarkan lagu raya sendiri tahun ini.

Lebih menarik, lagu terbabit disiapkan ketika dia masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak, baru-baru ini.

"Sudah lama saya idamkan hendak merakamkan lagu raya sendiri. Saya kemudian mempelawa Yuka yang juga rakan dalam industri muzik untuk turut serta dalam penghasilannya.

"Kami cuma mengambil masa beberapa hari saja untuk mencipta lirik dan melodinya. Proses rakaman pula dilakukan di rumah saya ketika masih berpantang," katanya.

Menurutnya, inspirasi lagu terbabit datang daripada dugaan pandemik yang melanda beberapa tahun ini juga. Idea utamanya tidak lain mahu menyemarakkan kembali rasa girang itu.

Justeru, suntikan muzik berentak rancak dalam irama zapin cukup bertepatan. Ernie berharap lagu itu menjadi sinar buat semua kembali mengubat rindu beraya dengan keluarga tercinta.

ERNIE mahu semarak kembali keriangan beraya menerusi Zapin Lebaran.
ERNIE mahu semarak kembali keriangan beraya menerusi Zapin Lebaran.

"Zapin Lebaran bermaksud sambutan meraikan hari kemenangan kita sebagai umat Islam. Bukan saja menahan lapar dan dahaga, tetapi juga ujian daripada Allah.

"Mungkin ada sinar harapan pada tahun ini apabila dapat merasa kembali suasana beraya selepas beberapa tahun tidak dapat menjenguk keluarga yang berada jauh di kampung halaman," katanya.

Dalam pada itu, Ernie cukup diulit bahagia apabila kini fasa hidupnya beralih kepada menjadi ibu pula. Baginya, kehadiran puteri sulungnya, Nur Khawla Soleha cukup menyerikan lagi hidupnya.

Justeru, dia melihat tanggungjawab itu sebagai satu amanah yang perlu dijaga sebaiknya. Dia tidak menafikan timbul kebimbangan, namun teruja melihat anaknya membesar.

"Alhamdulillah, perasaan gembira itu tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata apabila menimang cahaya mata pertama. Saya turut berasa sedikit gementar kerana tidak sabar hendak membesarkan puteri sulung kami.

"Walaupun sekarang saya fokus dengan anak, namun naluri seni saya terpanggil untuk merakamkan lagu raya baharu pada tahun ini," katanya.

Sementara itu, Ernie tidak menafikan Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza buat dia dan Syamel berikutan ketiadaan ibu mentua yang meninggal dunia, baru-baru ini.

"Walaupun sedih tanpa kehadiran ibu mentua, anak menjadi penyeri Aidilfitri kami nanti. Syamel dan saya sangat rapat dengan keluarga, jadi perbezaan itu akan jelas terasa.

"Saya berharap semua dapat menikmati lagu ini dengan penuh kegembiraan selepas puas berkorban. Semoga lagu ini sentiasa mekar menjadi antara lagu-lagu raya yang malar segar," katanya.

Zapin Lebaran mengangkat martabat irama tradisional Melayu asli berentak zapin yang ditambah keindahannya dengan alunan petikan gambus. Ia sekali gus menggamit nostalgia beraya zaman dahulu kala.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 6:00 AM