MALAYSIA bakal memasuki fasa peralihan ke endemik bermula pada 1 April ini.
MALAYSIA bakal memasuki fasa peralihan ke endemik bermula pada 1 April ini.

Kuala Lumpur: Hampir dua tahun selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 dan setakat ini meragut lebih enam juta nyawa di seluruh dunia, 'ianya masih belum berakhir.'

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus yang membuat kenyataan itu pada 9 Macmengingatkan pandemik ini masih jauh dianggap berakhir, meskipun jumlah kes serta kematian di seluruh dunia menunjukkan penurunan.

"Pandemik ini tidak akan berakhir di mana-mana sehingga ianya berakhir di mana-mana. Banyak negara di Asia dan Pasifik masih menghadapi peningkatan kes serta kematian.

"Virus ini terus berevolusi dan kita terus mengalami halangan besar untuk mengedarkan vaksin, ujian serta rawatan di mana-mana yang diperlukan," katanya dalam sidang media yang dibuat secara maya di Geneva, Switzerland.

Perkembangan Covid-19 dalam negara sepanjang tempoh rangkuman mingguan (5 Mac hingga 10 Mac 2022) menunjukkan kes harian baharu berlegar antara 20,000 hingga 33,000 kes. Angka kes harian tertinggi tempoh ini pada 5 Mac 2022 iaitu 33,406 kes.

Kelmarin, 10 Mac, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melapor 30,787 kes harian baharu termasuk 608 kes import. Sebanyak 564 (92.8 peratus) kes import itu melibatkan warganegara Malaysia.

Dengan kes kumulatif 3,741,986, Malaysia kini di tangga 22 daripada 226 buah negara/wilayah dilanda pandemik Covid-19.

Sementara itu, Malaysia akan melangkah memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lepas dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jumlah pesakit kategori 3, 4 dan 5 yang rendah iaitu 0.7 peratus.

Di samping itu, sebahagian besar rakyat Malaysia mendapat vaksinasi lengkap serta dos penggalak menerusi program vaksinasi khususnya Program Imunisasi Covid- 19 Kebangsaan (Pick), Pick Remaja dan PICKids. Sehingga 7 Mac 2022, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di dalam negara ialah 98.7 peratus manakala kadar vaksinasi dos penggalak bagi populasi dewasa ialah 64 peratus.

Data Covidnow KKM setakat jam 11:59 malam 10 Mac 2022 menunjukkan kes aktif Covid-19 314,420 kes dan daripada jumlah itu, 302,242 kes (96.1 peratus) dikuarantin di rumah.

Sebanyak 3,039 kes (1.0 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 8,750 kes (2.8 peratus) di hospital, 160 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 229 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Rekod kes harian baharu KKM bagi rangkuman mingguan (5 Mac hingga 10 Mac 2022) seperti berikut: 5 Mac (33,406), 6 Mac ( 27,435), 7 Mac (26,856), 8 Mac (31,490), 9 Mac (30,246) dan 10 Mac (30,787).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar semalam melaporkan, daripada 30,787 kes harian baharu dilapor, kategori 1 sebanyak 10,921 kes (35.47 peratus), kategori 2 sebanyak 19,642 kes (63.80 peratus), kategori 3 sebanyak 93 kes (0.30 peratus), kategori 4 sebanyak 74 kes (0.24 peratus) kategori 4 dan kategori 5 sebanyak 57 kes (0.19 peratus).

KKM meletakkan pesakit Covid-19 memerlukan ventilator dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Sebanyak 26,457 kes sembuh pesakit Covid-19, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 3,393,999 (90.7 peratus).

Sebanyak 153 kes di Unit Rawatan Rapi disahkan sebagai Covid-19 setakat kelmarin dan 96 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kluster aktif dalam negara setakat Khamis 10 Mac 2022 sebanyak 419 kluster. Secara keseluruhan, sebanyak 6,869 kluster dikesan dan 6,450 daripadanya ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 7:00 AM