GAJET dan telefon bimbit memberi kesan negatif kepada anak sekiranya penggunaannya tidak dikawal.
GAJET dan telefon bimbit memberi kesan negatif kepada anak sekiranya penggunaannya tidak dikawal.
MASALAH ini memerlukan kesedaran daripada semua pihak.
MASALAH ini memerlukan kesedaran daripada semua pihak.
TERLALU menghadap telefon bimbit dan gajet pada hari raya banyak memberikan kesan negatif.- Gambar hiasan
TERLALU menghadap telefon bimbit dan gajet pada hari raya banyak memberikan kesan negatif.- Gambar hiasan
Siti Nadirah Hafidzin

Lebih banyak mendiamkan diri dan memegang telefon bimbit untuk melayari Internet kini dilihat menjadi satu budaya yang semakin sukar dibendung.

Baik si anak mahupun golongan dewasa, senario lebih mementingkan gajet daripada mendampingi dan beramah mesra dengan sanak-saudara atau kenalan dilihat menjadi satu permasalahan yang perlu ditangani segera.

Pada Syawal yang mulia ini, situasi terlalu ‘mengutamakan gajet’ ini pastinya bukan saja mewujudkan jurang dalam hubungan malah boleh mengeruhkan suasana hari raya yang sepatutnya diraikan dengan penuh kasih sayang.

Mata yang hanya fokus menghadap skrin telefon bimbit atau gajet tanpa menghiraukan perasaan insan tersayang di sisi selain kurang berkomunikasi bakal menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari.

Hakikatnya, senario ini memerlukan kesedaran daripada semua pihak terutama ibu bapa dalam mendidik anak serta menunjukkan contoh teladan yang boleh diikuti ahli keluarga.

Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia Ko Teik Yen berkata, kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai masa yang mencukupi dalam mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan memenuhi keperluan peribadi mereka sendiri.

Menurut Ko, faktor kesibukan dalam menguruskan anak di samping tuntutan tugas di pejabat menjadikan kebanyakan ibu bapa sering mengabaikan diri sendiri serta individu di sekelilingnya.

“Situasi itu bukan saja mengganggu emosi kedua-dua ibu bapa malah ia juga mengakibatkan anak terasa terasing dan mula mencari jalan penyelesaian bagi mendapatkan keseronokan.

“Keadaan ini dalam jangka masa panjang boleh menjejaskan ikatan kekeluargaan yang mengakibatkan hubungan kekeluargaan menjadi kurang baik disebabkan anak membesar tanpa mendapat bimbingan dan dampingan ibu bapa secukupnya,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila keadaan itu menyebabkan anak memberontak atau menyendiri yang akhirnya mengganggu perkembangan emosi dan sosial mereka.

“Lebih menyedihkan apabila keadaan itu sering berakhir dengan perkara negatif antaranya ketagihan kepada Internet atau mudah terjebak dalam masalah sosial.

“Sebelum ia terjadi, lebih baik kita mencegahnya dengan mencari jalan penyelesaian terbaik. Caranya dengan mendampingi anak dan meluangkan masa secukupnya untuk mengenali serta memahami mereka,” ujarnya.

Ko berkata, sebaik-baiknya ibu bapa perlu mengawal diri sendiri daripada terlalu menghadap telefon bimbit atau gajet bagi memastikan tabiat itu tidak diikuti si anak.

“Latih diri anak untuk mahir dan bijak bergaul dan berkomunikasi supaya ikatan kekeluargaan terutama ketika hari raya lebih terjalin tanpa ada halangan daripada gajet atau Internet.

“Jika boleh, apabila tiba di kampung halaman setiap anak diberikan tugasan yang menyeronokkan untuk disiapkan bagi memastikan mereka tidak terikat hanya dengan memegang dan menatap skrin telefon bimbit,” katanya.

Beri perhatian

Kebanyakan anak memilih untuk lebih cenderung menghadap Internet disebabkan kurangnya perhatian daripada ibu bapa atau penjaga.

Ko berkata, perhatian yang kurang bakal menyebabkan si anak berasa tersisih sekali gus mencari perkara yang dapat menggembirakan mereka antaranya dengan melayari Internet.

“Senario ini pasti boleh diatasi sekiranya perhatian dapat diberikan sepenuhnya selain perbanyakkan berkomunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak.

“Sering menasihati anak supaya menghormati tetamu yang hadir kerumah ketika musim perayaan dan jangan terlalu asyik melayari Internet sehingga mengabaikan perkara lain,” katanya.

Menurut Ko, lumrah anak perlu dinasihati supaya golongan itu berasakan diri disayangi selain mengetahui perkara yang betul dan salah.

“Perkara ini tidak boleh dilakukan secara paksaan atau mengejut kerana ia memerlukan didikan serta teguran daripada awal bagi mengelak anak-anak memberontak.

“Bukan tidak boleh melayari Internet namun penggunaannya perlulah ada batasan dan tidak keterlaluan sehingga mengabaikan perkara yang perlu diutamakan terutama ahli keluarga pada hari raya,” ujarnya.

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengelak daripada berlakunya ketagihan Internet atau gajet:

• Perbanyakkan komunikasi yang menyeronokkan.

• Sering berikan nasihat serta teguran.

• Jangan membiasakan anak-anak terlalu bergantung dengan Internet.

• Berikan perhatian yang lebih supaya anak-anak tidak berasa bosan dan akhirnya memilih untuk melayari Internet.

• Lakukan jadual atau masa yang ditetapkan untuk mereka melayari Internet.

• Sentiasa pantau setiap laman web atau laman sosial yang dilayari anak-anak.

• Lakukan aktiviti kekeluargaan bersama-sama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 12:33 PM