Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Remaja lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir dan dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, di sini, malam tadi.

Mayat Muhammad Fazly Kamri, 13, dijumpai jam 10 malam oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira 50 meter daripada lokasi terakhir dia dipercayai hilang.

Dalam kejadian 6.20 petang tadi, mangsa menunggang basikal bersama dua sepupunya untuk ke rumah nenek tidak jauh daripada rumah masing-masing.

Sepupunya, Muhamad Aiman Mohamad Anuwa, 13, berkata, mereka menunggang basikal berasingan dan ketika melalui kawasan lokasi, mangsa berada di hadapan sambil memberitahu dia tahu selok-belok laluan itu.

"Ketika itu hujan rintik dan jalan berbatu yang kami lalui itu dilimpahi air dan arusnya deras.

"Fazly yang berada di hadapan melalui jalan itu dan tiba-tiba dia tergelincir sebelum dihanyutkan arus bersama basikal memasuki tali air.

"Fazly sempat berpaut pada rumput namun arus yang sangat deras terus menghanyutkan dia ke tengah tali air," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Muhamad Aiman berkata, dia dan seorang lagi sepupunya yang dikenali sebagai Faiz, 13, meminta tolong tiga lelaki yang berada berhampiran namun disebabkan tidak pandai berenang, tiga individu itu menghubungi penduduk kampung lain.

Katanya, dalam jarak kira-kira 100 meter dihanyutkan arus, dia terdengar mangsa menjerit 'tolong aku' namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya memandang sepupunya itu perlahan-lahan tenggelam.

"Kami berdua sangat takut dan terus balik ke rumah dan memberitahu keluarga," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 10:55 PM
MAYAT Muhammad Fazly Kamri dijumpai jam 10 malam oleh anggota PPDA. FOTO Siti Rohana Idris
MAYAT Muhammad Fazly Kamri dijumpai jam 10 malam oleh anggota PPDA. FOTO Siti Rohana Idris