HM Digital

Kuala Lumpur: Niat murni dua pelajar tingkatan satu mahu menolong rakan yang tergelincir akibat dipukul arus deras menjadi punca dua pelajar hanyut ke dalam longkang besar dan dikhuatiri lemas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, mangsa yang terselamat, Aidil Azhar Sham Saffiri, 13, memberitahu dia menggunakan laluan terowong pembetung sebagai jalan pintas untuk balik ke rumah bersama dua rakannya, Mohd Syafiq Akmal Amran, 13, dan Mohd Rafiuddin Fakhrullah, 13.

“Ketika itu hujan lebat dan paras air naik mendadak dan menjadi deras di dalam pembetung yang bersambung ke longkang besar.

“Aidil mulanya tergelincir akibat arus deras sebelum cuba dibantu dua rakannya, Mohd Syafiq dan Mohd Rafiuddin Fakhrullah. Bagaimanapun mereka dihanyutkan arus deras,” di lokasi pencarian berdekatan PPR Kampung Muhibah di sini, semalam.

Menurutnya, Aidil bagaimanapun terselamat selepas berpaut pada tebing sebelum berlari ke sekolah untuk meminta pertolongan.

Katanya, terdapat orang awam yang cuba membantu mangsa namun gagal berikutan kedua-dua mangsa sudah tenggelam ketika itu.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, Mohd Syafiq dan Mohd Rafiuddin hilang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Yarl.

Aidil pula yang terselamat masih trauma dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 5:33 AM