Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Mendakwa ketua ajaran sebagai 'Imam Mahdi' sebenar, menolak semua ulama seluruh dunia dan mendakwa semua agama termasuk Islam adalah sesat.

Itu dakwaan satu ajaran sesat dikenali sebagai 'ajaran Ahmadi' kononnya mahu membawa manusia kembali ke jalan agama sebenar.

Sumber keselamatan negara memaklumkan ajaran itu ditaksir ekstrem dan menyeleweng berikutan mendakwa ketua mereka sebagai imam Mahdi, menolak ulama dan agamawan seluruh dunia serta mendakwa setiap agama termasuk Islam sebagai sesat.

Katanya, kumpulan terbabit juga giat menyebarkan ideologi mereka menerusi platform media sosial seperti TikTok dan turut mempunyai saluran Telegram.

Untuk rekod, ajaran itu turut dikenali sebagai The Ahmadi Religion of Light and Peace dan seorang rakyat Malaysia yang kini bersembunyi di United Kingdom (UK) adalah bishop untuk negara ini.

Sumber berkata, lelaki itu memilih berhijrah ke UK berikutan ketua imam ajaran itu turut berada di negara berkenaan selain berasa dirinya selamat berada di sana.

"Ajaran terbabit mempunyai 10 orang pengikut tegar di negara ini dan pihak berkuasa sudah mempunyai profil lengkap mereka termasuk alamat rumah, nama dan sebagainya.

PENGIKUT ajaran Ahmadi ketika menyebarkan fahaman mereka di jalanan.
PENGIKUT ajaran Ahmadi ketika menyebarkan fahaman mereka di jalanan.

"Ajaran ini juga percaya berhubung kewujudan 12 Imam Mahdi yang jelas menyeleweng daripada agama Islam sebenar.

"Di samping itu, pengikut ajaran terbabit percaya lokasi sebenar Kaabah terletak di Petra, Jordan dan bukan di Makkah, Arab Saudi," katanya kepada Skuad Khas Harian Metro, semalam.

Sumber itu berkata, pengikut ajaran terbabit merujuk ajaran itu melalui buku dihasilkan oleh ketuanya bertajuk The Goal Of The Wise, The Gospel Of The Riser Of The Family of Mohammed.

Katanya, pengisian buku itu meliputi terjemahan berkaitan imam Mahdi daripada al-Quran, kitab bible dan fahaman Syiah.

"Lebih ekstrim, mereka juga mendakwa al-Quran kini bukan yang sebenar, solat dan pemakaian tudung tidak wajib, arak halal diminum serta bulan Ramadan pada Disember.

"Mereka mempercayai terdapat 12 imam selepas pemerintahan khalifah dan 12 al-Mahdi selepas imam selain mendakwa manusia kini berada di zaman al-Mahdi kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 12:01 PM