Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Syukur jasad bapa mentua sudah ditemui walaupun jauh dari tempat dia jatuh di Sungai Langgar, semalam," kata Mohd Amin Fardullha Muthu, 31.

Jasad Ismail Awang, 83, ditemui orang awam kira-kira 4.3 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh sebelum tenggelam dalam Sungai Langgar yang terletak di belakang kedai makan, jam 7.15 pagi semalam.

Mohd Amin membuat pengecaman itu selepas mendapati pakaian yang dipakai mangsa sama seperti yang dipakai bapa mentuanya sebelum keluar semalam.

"Kami reda dengan apa yang berlaku, dan bersyukur kerana jasad bapa mentua ditemui hari ini.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus membantu mencari arwah sejak semalam," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mangsa berhampiran Sekolah Menengah Langgar, di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat mangsa ditemui terapung jam 11.32 pagi hari ini, sebelum diangkat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi hari ini membabitkan 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Jalan Raja dan Pokok Sena selain dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selain itu, anggota PPDA dari BBP Jitra dan Sungai Petani turut terbabit dalam operasi ini serta Unit Anjing Pengesan (K-19) dari Ibu Pejabat Bomba Selangor yang turut membantu pencarian mangsa," katanya di lokasi penemuan mangsa di Sungai Langgar, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, terdahulu anjing K-19 sudah melakukan dua pusingan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan iaitu antara satu hingga dua kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.

Beliau berkata, disebabkan faktor arus sungai deras di bahagian dasar menyebabkan mayat mangsa dihanyutkan lebih empat kilometer dari lokasi pencarian.

"Selain itu, terdapat kayu di bahagian bawah sungai menyukarkan anggota PPDA untuk menyelam selain faktor arus deras.

"Mayat mangsa ditemui selepas tempoh 24 jam selepas dilaporkan terjatuh," katanya.

ANGGOTA bomba mengangkat jenazah Ismail Awang yang ditemui lemas dihanyutkan kira-kira 4.3 kilometer di tempat mangsa jatuh di Sungai Langgar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ANGGOTA bomba mengangkat jenazah Ismail Awang yang ditemui lemas dihanyutkan kira-kira 4.3 kilometer di tempat mangsa jatuh di Sungai Langgar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Dalam kejadian jam 7.15 pagi semalam, Ismail Awang, 83, dikatakan menunggang basikal seorang diri dari rumahnya di Jalan Market, Pekan Langgar untuk membeli sarapan nasi lemak di pekan berkenaan.

Bagaimanapun mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai di belakang kedai makan berkenaan, dan dilihat tenggelam timbul dua kali oleh orang awam.

Berita berkaitan:

  • Arus deras sukarkan pencarian warga emas [METROTV]
  • Timbul dua kali sebelum tenggelam
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 1:49 PM