Oleh Zulfa Mohamad


Tasek Gelugor: Seorang remaja maut selepas tercampak ke dalam tali air sejurus motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Padang Chempedak di sini, semalam.

Ketika kejadian pada 12.44 tengah malam itu, mangsa Muhamad Amirul Asraf Mohamad Sabri, 15, dikatakan menunggang motosikal Modenas GT128 seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tasek Gelugor.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, motosikal mangsa terbabas ke kiri jalan manakala mangsa terjatuh ke dalam tali air berkenaan.

"Mangsa kemudian dihanyutkan arus deras sejauh 400 meter dari lokasi dia terjatuh.

"Sepasukan anggota bomba melakukan usaha menyelamat berjaya menemui mangsa yang kemudian disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 4:09 PM