GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat semalam mencatatkan penurunan kepada 26,701 kes berbanding 27,831 kes, kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah 3,138,215 kes setakat ini.

Beliau berkata, daripada 26,701 kes harian yang dilaporkan semalam, 118 kes (0.44 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.

"Manakala, 26,583 kes (99.56 peratus ) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 11,744 kes sembuh direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 2,888,194 atau 92 peratus.

"KKM turut merekodkan 216 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 98 kes daripada jumlah itu disahkan Covid-19; 118 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

"Sementara itu, 141 kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan di mana 55 kes daripada jumlah itu disahkan positif Covid-19; 86 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, KKM turut mengenal pasti 19 kluster baharu di mana pertambahan kluster baharu itu menjadikan 6,676 kluster sudah dilaporkan setakat ini dengan 481 kluster masih aktif.

"Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web http://covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

"Orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 10:51 AM