Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini mencatatkan penurunan kepada 3,010 kes berbanding 3,074 kes, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah 2,808,347 kes setakat ini.

"Daripada 3,010 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 28 kes (0.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.

"Manakala 2,982 kes (99.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 2,584 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 2,735,355 atau 97.4 peratus.

"KKM turut mencatatkan 182 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana daripada jumlah itu 146 kes disahkan Covid-19 manakala 36 kes lagi adalah kes dalam siasatan.

"KKM turut merekodkan 83 kes yang memerlukan bantuan pernafasan di mana 58 kes disahkan Covid-19 manakala 25 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, KKM turut mengenal pasti tujuh kluster baharu di mana pertambahan kluster baharu itu menjadikan 6,212 kluster sudah dilaporkan setakat ini dengan 176 kluster masih aktif.

"Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web http://covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

"Orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 2:15 PM