HARGA purata ayam mentah di Perlis adalah sekitar RM8.33. FOTO Arkib NSTP
HARGA purata ayam mentah di Perlis adalah sekitar RM8.33. FOTO Arkib NSTP
Aizat Sharif

Kangar: Harga purata jualan ayam mentah di Perlis dilihat paling murah dan berpatutan berbanding di negeri lain.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata, walaupun terdapat 'trend' penurunan harga ayam mentah yang amat ketara pada waktu ini di seluruh negara, Perlis menjadi negeri yang mempunyai purata harga jualan ayam mentah yang paling rendah daripada semua negeri.

"Secara umumnya, tinjauan kami pada seminggu kebelakangan ini mendapati terdapat penurunan harga yang baik bagi ayam mentah hasil kerjasama semua pihak terutama daripada pihak peruncit, pemborong dan penternak.

"Daripada situ juga, harga purata nasional untuk ayam mentah juga turun kepada RM8.77 berbanding hampir RM11 lebih seperti yang dilaporkan dalam dua minggu lalu dan kini harga sudah kembali stabil.

"Namun, di Perlis, harga purata ayam mentah adalah sekitar RM8.33 dan ini bermakna harga di Perlis ini lebih murah berbanding harga purata ayam di peringkat nasional," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bekalan dan harga ayam dan telur ayam di Pasar Besar Sena, di sini hari ini.

Turut hadir dalam pemeriksaan berkenaan adalah Pengarah KPDNHEP Negeri Perlis, Norazah Jaapar.

"Berdasarkan pemantauan pihak kita sebelum ini juga, harga jualan ayam mentah tertinggi di Perlis adalah sekitar RM9.20 sekilogram berbanding RM10 pada awal bulan ini.

"Selain itu juga, penyebab kepada kenaikan menadadak harga ayam mentah sebelum ini adalah disebabkan kos makanan ayam yang diternak oleh penternak ayam seluruh negara dan harus diingat bahawa sehingga 80 peratus makanan yang digunakan untuk penternakan ayam seperti soya dan jagung adalah diimport dari negara luar.

"Malah, perubahan harga yang tidak kekal serta kos logistik juga menjadi bebanan kos yang menjurus kepada kenaikan harga ayam berkenaan," katanya.

Beliau berkata, bagi jualan telur ayam pula, harga jualan terendah terkini bagi jenis Gred A adalah pada harga RM4.40 dan harga tertinggi yang dicatatkan adalah RM4.90.

"Bagi jenis Gred B pula, harga jualan terendah adalah pada harga RM4.40 dan jualan tertinggi pula adalah pada harga RM4.60.

"Manakala Gred C pula dijual pada harga RM3.80 bagi harga terendah dan RM4 untuk harga tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 5:42 PM