KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk mengkaji semula dasar eksport kek isirung sawit (PKC) yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa ini, PKC dieksport untuk industri lembu Eropah.

"Kajian menunjukkan memberi makan PKC yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging, boleh menggantikan makanan import yang digunakan oleh hampir semua ladang ayam komersial hari ini," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, ladang kelapa sawit Malaysia menghasilkan bekalan sisa isirung sawit yang banyak.

KPPK juga akan meningkatkan usaha mempromosikan penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mampan dalam jangka panjang, katanya.

Zuraida berkata, harga ayam meningkat disebabkan antaranya harga makanan ayam yang tinggi malah dilaporkan harga makanan ayam melonjak daripada RM500 satu tan kepada RM1,900 satu tan dalam beberapa kes.

"Disebabkan ini, ayam kurang diberi makan, menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa, dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam.

"Buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya. Sumber ini menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata, KPPK juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri untuk meneliti dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam Malaysia dapat dilakukan dengan segera.

"Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 7:00 AM