PERSAINGAN dalam pasaran kerja yang semakin sengit menuntut graduan Bumiputera menonjolkan kelebihan diri bagi melayakkannya diterima bekerja dalam sesebuah syarikat. FOTO Arkib NSTP
PERSAINGAN dalam pasaran kerja yang semakin sengit menuntut graduan Bumiputera menonjolkan kelebihan diri bagi melayakkannya diterima bekerja dalam sesebuah syarikat. FOTO Arkib NSTP
Nazarali Saeril dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin dan Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: Hendak habiskan satu ayat dalam bahasa Inggeris cukup sukar, umpama ada bom dalam mulut.

Itu luahan Shamsul (bukan nama sebenar), 30, ketika mendedahkan bagaimana sukarnya dia untuk berbahasa Inggeris dalam lebih 30 sesi temu duga kerja disertainya sebaik menamatkan pengajian kira-kira lima tahun lalu.

"Dalam hati memang boleh jawab, tapi apabila perlu berbual, semuanya jadi tidak tentu arah, jadi kelam-kabut malah umpama baru belajar A, B, C," katanya lagi.

Sebagai pemegang ijazah daripada sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu kota, Shamsul berharap dia akan mendapat kerja setaraf dengan pendidikan.

Namun, dia tidak tahu kesukaran bakal dihadapi kerana lemah dalam bahasa Inggeris.

"Sepanjang pengajian, saya bersikap umpama antibahasa Inggeris, malah akan sound rakan sekuliah yang berbahasa Inggeris dengan saya.

"Walaupun pensyarah, rakan kuliah malah keluarga juga menerangkan berkaitan kepentingan bahasa Inggeris ini namun saya tidak rasa ia penting," katanya.

Selepas tamat pengajian pada 2015, Shamsul menghantar permohonan untuk bekerja di banyak syarikat swasta di ibu kota, Johor Bahru, Johor serta Pulau Pinang.

"Saya tidak sangka, saya akhirnya menganggur untuk dua tahun. Bukan itu saja, saya turut menghantar lebih 50 permohonan untuk bekerja di pelbagai syarikat.

"Bagaimanapun, apabila tiba masa ditemu duga, saya gagal berbahasa Inggeris dengan baik berbanding pencari kerja lain.

"Hendak habiskan satu ayat dalam bahasa Inggeris pun cukup susah, malah saya umpama 'memalukan' diri sendiri dengan bercakap dalam 'bahasa Inggeris' yang hanya saya sendiri faham," katanya.

Shamsul yang kini bekerja sebagai eksekutif di sebuah kilang elektronik di Johor Bahru berkata, sebaik mendapat pekerjaan berkenaan pada pertengahan 2017, dia terus bertekad untuk berusaha menguasai bahasa Inggeris sebaik mungkin.

"Sejak itu, setiap hari saya akan berbahasa Inggeris walaupun dengan pengawal keselamatan.

"Walaupun pada mulanya agak janggal namun kini, saya bersyukur kerana penguasaan bahasa Inggeris semakin baik, bukan saya yang kata sebaliknya ia diiktiraf majikan," katanya.

Shamsul tidak menafikan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan mahasiswa Bumiputera memang lemah kerana dia sendiri mengalaminya.

"Bukan semua mahasiswa Bumiputera lemah dalam bahasa Inggeris namun sebahagian besarnya memang begitu.

"Kepada penuntut di institusi pengajian tinggi, terus berusaha untuk kuasai bahasa Inggeris, ia satu daripada 'jaminan' untuk memudahkan anda memohon pekerjaan," katanya.

Bagi Saadiah (bukan nama sebenar), 29, sikap malu selain 'berat mulut' untuk berbahasa Inggeris di IPTA turut memakan dirinya ketika berusaha mencari kerja.

"Ada kalanya, ia berlaku kerana kita sentiasa dikelilingi rakan sekuliah sebangsa. Maksudnya, kita tidak berusaha untuk mendekati penuntut lain yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

"Ada juga rakan Melayu yang fasih berbahasa Inggeris namun ketika bersama-sama, kita lebih selesa menggunakan bahasa Malaysia," katanya.

Menurut Saadiah, apa yang berlaku, sejurus tamat pengajian di IPTA di utara tanah air pada 2017, dia terus berusaha mencari kerja di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, belum sempat hadir ke sesi temuduga, dia sudah ditolak daripada menghadirinya.

"Ada wakil syarikat yang menghubungi saya untuk memaklumkan berkaitan tarikh temu duga. Bagaimanapun, sepanjang perbualan, wakil terbabit menggunakan bahasa Inggeris.

"Saya pula berbahasa Malaysia. Bagi memudahkan urusan kedua-dua pihak, wakil syarikat mengatakan mereka hanya mengambil pekerja yang mampu berbahasa Inggeris dan terpaksa menolak permohonan saya," katanya.

Kata Saadiah, dia memohon 20 pekerjaan namun 12 daripadanya gagal melalui perbualan di telefon saja.

Lapan lagi menerusi temu duga dihadiri.

"Akhirnya, saya memohon mendapatkan kerja di sebuah syarikat percetakan sebagai kerani am. Ia memang di luar bidang pengajian saya namun saya diterima bekerja di situ.

"Walaupun tidak dapat berbahasa Inggeris dengan baik namun pemilik syarikat itu meminta saya belajar daripada kakitangan lain bagi menaik taraf diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 12:00 PM