GRADUAN mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran SL1M.
GRADUAN mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran SL1M.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia satu-satunya negara yang menyediakan platform untuk pencari kerja terutama graduan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dengan pendedahan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja menerusi Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata, keunikan skim diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2011 itu bukan saja mampu menyediakan latihan untuk melahirkan tenaga kerja berkualiti, malah setiap pelatih yang menyertai program itu turut menerima elaun dan perlindungan insurans serta perubatan.

“Tiada negara lain dalam dunia ini membayar anda semua (graduan) untuk mendapatkan latihan. Jika orang lain kena bekerja baru dibayar gaji, tetapi anda diberi elaun RM1,500 tak termasuk elaun lain semata-mata untuk dapatkan pengalaman dan ilmu menjadi pekerja berkualiti.

“Calon terpilih akan menjalani latihan kemahiran insaniah dan teknikal serta kemahiran bagaimana meningkatkan keyakinan diri dan pendedahan suasana kerja seterusnya menjadi nilai tambah jika diserap majikan ke jawatan tetap selepas tamat latihan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman terdahulu, bekas pelatih SL1M biasanya menjadi rebutan majikan berikutan mereka lebih berkeyakinan dan mempunyai kemahiran termasuk komunikasi serta kepemimpinan mereka lebih terserlah.

“Industri di luar sana tahu kalau orang itu pernah masuk SL1M atau tidak sebab pelatih SL1M daripada pengalaman dan cara mereka menjawab soalan berlainan serta mempunyai tahap keyakinan tinggi apabila bercakap berbanding yang tidak pernah menyertainya.

“Ada juga syarikat datang jumpa kami mahu calon pekerja tetap daripada mereka yang pernah mengikuti SL1M saja sebab mereka tahu boleh dapat bakat berkualiti,” katanya.

Katanya, walaupun pihaknya menguar-uarkan penganjuran SL1M masih ada segelintir graduan tidak menyedari kewujudan program ini, malah beranggapan ia hanya sekadar latihan sedangkan ia sebahagian daripada kaedah terbaik mendekati industri yang mengambil bahagian termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

“Kadangkala ada graduan tidak memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang bagus atau tidak mempunyai ijazah dalam bidang ‘seksi’ serta ada yang mempunyai kekurangan dalam komunikasi, resume ‘cut and paste’ dan tiada pemikiran analitikal.

“Sekiranya mahu membuat penyelidikan awal sebelum menjalani temu duga, saya rasa program temu duga seperti ini platform terbaik mendapatkan pengalaman dengan praktis temuduga dari satu tempat ke satu tempat (gerai syarikat).

“Di samping menawarkan pengalaman begitu di sini, calon berpeluang ditawar jawatan,” katanya.

Norashikin mengajak graduan di luar sana yang masih skeptikal dan masih meragui SL1M bangkit dan hadir ke program temu duga terbuka SL1M yang dianjurkan di seluruh negara dari Perlis hingga ke Sabah selepas ini.

“Selepas berjaya menganjurkan Temu Duga Terbuka Zon Tengah ini, SL1M dianjurkan di Pahang. Kami harap anak muda di luar sana terutama graduan yang masih menganggur hadir di tempat persinggahan kami nanti.

“Tak pandai tak apa saya rasa banyak industri sudi mengajar, tetapi paling penting sikap dan jati diri untuk berjaya itu perlu ditanam dalam diri masing-masing.

“Jangan tuding jari kepada kerajaan kerana tak beri peluang, apabila peluang ada depan mata rebutlah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pengambilan Bakat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rina Sarif menasihati mereka yang mahu datang menjalani sesi temu duga supaya mempersiapkan diri dengan keyakinan diri dan sekurang-kurangnya tahu kemahiran asas berbahasa Inggeris.

“Calon yang datang temu duga bukan saja untuk TNB, tetapi ke syarikat lain pun jangan malu bercakap dan rasa rendah diri sebab setiap orang ada kelebihan tersendiri.

“Melalui pengalaman saya, ramai calon kurang keyakinan diri dan kurang kemahiran berbahasa Inggeris.

“Oleh itu, selain keyakinan diri mereka perlu ada asas berbahasa Inggeris kerana kebanyakan GLC sekarang ke arah globalisasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 9:17 AM