GAMBAR hiasan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
GAMBAR hiasan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Rozaimy Ridzuan

MELANGKAHKAN kaki ke menara gading adalah satu impian buat majoriti individu yang bergelar pelajar kerana di situlah cita-cita futuristik alam kerjaya dapat dizahirkan setelah mereka bergelar graduan satu hari nanti.

Bagaimanapun, segulung ijazah kini bukan lagi menjanjikan seseorang itu mendapat tempat di alam pekerjaan. Di Malaysia, kadar pengangguran sudah meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020 dan peningkatan kadar pengangguran ini bukan saja merugikan siswazah dan institusi pendidikan, malah ia boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi negara kerana kurangnya modal insan yang berupaya untuk meningkatkan produktiviti negara.

Sebelum ini, ramai ahli akademik membuat kajian dan mendapati faktor kemahiran berkomunikasi adalah antara punca utama siswazah menganggur. Hurley (2008) menekankan betapa pentingnya kemahiran komunikasi kepada mereka kerana 80 peratus waktu bekerja mereka nanti akan digunakan untuk berkomunikasi.

Siswazah yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik selalunya mendapat tempat di hati majikan. Namun, kemahiran komunikasi selalu disalahertikan kerana kebanyakan mereka beranggapan kemahiran berkenaan hanyalah tertakluk kepada penguasaan bahasa Inggeris semata-semata.

Realitinya, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara kita juga perlu dititiberatkan kerana ia turut dijadikan ukuran dalam sesi temu duga pekerjaan. Namun, ada beberapa calon dalam kalangan siswazah yang menggunakan bahasa slanga ketika sesi temu duga berlangsung. Menurut Kamus Dewan (1989), bahasa slanga merujuk kepada kata-kata yang bukan daripada golongan bahasa baku dan biasanya digunakan dalam percakapan tidak formal serta tidak boleh digunakan dalam keadaan yang formal. Penggunaan bahasa slanga yang membabitkan kata ganti nama diri seperti 'kitorang', 'korang' dan 'diorang' dilihat begitu meluas penggunaannya ketika sesi temu duga kerja berlangsung. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat (2015), 'kitorang' yang membawa maksud 'kami' tergolong dalam bahasa yang digunakan sehari-hari dan tidak boleh digunakan dalam keadaan rasmi dan penggunaan istilah itu lebih sesuai digunakan oleh dua pihak yang mempunyai hubungan rapat. Selain itu, ada juga calon menggunakan bahasa slanga seperti 'pishang' (bosan), 'krik krik' (menunjukkan suasana sepi), dan 'giler' (sangat) yang situasi sebegini merimaskan gegendang telinga pihak majikan.

Penggunaan kata ganti nama diri bergantung pada ikatan, hubungan peribadi dan hubungan sosial penutur dengan pendengar. Bahasa slanga seperti yang dinyatakan tadi sangat tidak bersesuaian dengan situasi temu duga yang memerlukan kaedah formal dan ditambah pula kedua-dua pihak (calon dan majikan) tidak mengenali antara satu sama lain.

Penggunaan kata ganti nama diri yang betul dalam memindahkan mesej amat penting dalam memastikan penyampaian mesej yang betul dan mudah difahami oleh pendengar serta pembaca. Selain itu, kesantunan semasa berkomunikasi dalam bahasa Melayu boleh diukur melalui penggunaan kata ganti nama diri yang betul. Kesalahan menggunakan pola kata ganti nama diri bukan saja melanggar peraturan penggunaan bahasa, tetapi juga melanggar tatasusila dan kesantunan berbahasa.

Menurut Professor Peter Newmark, seorang tokoh utama dalam penubuhan Pengajian Terjemahan, bahasa dan budaya ibarat seperti isi dengan kuku, bahasa slanga dalam pertuturan seharian ini terbentuk akibat kebiasaan (budaya) sesebuah masyarakat. Selain itu, faktor keselesaan turut dikaitkan mengapa seseorang itu acap kali menggunakan bahasa slanga kerana cara penggunaannya tidak memerlukan penyusunan ayat yang kompleks dan perbendaharaan kata tinggi.

Selain faktor rakan sebaya, media sosial dan media massa, pengetahuan yang lemah juga mempengaruhi seseorang itu menggunakan bahasa slanga ketika berkomunikasi secara formal. Mereka beranggapan pengunaan bahasa mereka adalah tepat.

Pengunaan bahasa slanga yang tidak terkawal mampu meranapkan keupayaan seseorang untuk bertutur dalam bahasa formal dan seterusnya akan menyulitkan hasrat mereka untuk berjaya dalam sesi temu duga. Sekiranya penggunaan bahasa slanga ini digunakan secara berleluasa, ia akan menjejaskan status, kemurnian dan ciri penting bahasa kebangsaan.

Nuraini Yusoff, et al. (2006) dalam kajian mereka mendapati penggunaan kata slanga seperti 'diorang', 'kitorang' dan 'korang' adalah kata slanga yang paling kerap ditemui dalam pengacaraan rancangan hiburan di televisyen berbanding kata-kata slanga yang lain. Oleh itu, pihak penyiaran perlu memantau penggunaan bahasa slanga ini dalam usaha memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini. Institusi pengajian tinggi boleh membantu meredakan masalah ini dengan memberi penekanan yang lebih kepada isu bahasa slanga ketika sesi temu duga menerusi kursus ketrampilan siswazah (finishing school) yang secara kebiasaannya dianjurkan buat pelajar tahun akhir.

Latihan temu duga (mock interview) perlu diperhalusi dan diberikan penekanan agar profesionalisme bakal graduan dapat dipertingkatkan ketika sesi temu duga sebenar dijalankan. Pelajar/bakal graduan pula perlu berlapang dada dan dengan rela hati menghadiri kursus itu. Selain itu, mereka juga perlu mengambil inisiatif sendiri dengan menyertai kelab atau pertandingan pidato dan debat yang dianjurkan oleh pihak universiti. Sebagai orang yang terpelajar, seharusnya mereka perlu tahu bila masanya yang sesuai untuk menggunakan lenggok bahasa tertentu. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kesedaran memelihara bahasa kebangsaan perlu dipertingkatkan kerana bahasa mencerminkan budaya bangsa.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 5:59 AM