Muhyiddin  menyampaikan replika cek kepada pemenang hadiah karya ilmiah sains dan teknologi 2014, Mat Rofa Ismail (kanan) pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2014.
Muhyiddin menyampaikan replika cek kepada pemenang hadiah karya ilmiah sains dan teknologi 2014, Mat Rofa Ismail (kanan) pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2014.
OOleh Hayati Ibrahim


Putrajaya

Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mensyaratkan pengiklan atau pihak yang memohon memaparkan sesuatu di tempat awam supaya mendapat pengesahan serta sijil kelulusan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu dari segi penggunaan bahasa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan nama yang tidak bercitra kebangsaan bagi taman perumahan, kawasan dan gedung perniagaan dan institusi agak membimbangkan dalam konteks pembinaan citra kebangsaan.

"(Sehubungan itu) Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan kali ke-67 pada 4 Mac lalu yang dipengerusikan saya sendiri memutuskan bahawa paparan di tempat awam sama ada oleh pihak swasta atau agensi kerajaan hendaklah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada DBP dalam aspek bahasanya.

"Saya juga berharap semua PBT mensyaratkan pengiklan dan pihak yang memohon untuk memaparkan sesuatu di tempat awam mematuhi peraturan itu," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Muhyiddin berkata, citra bahasa di tempat awam masih memerlukan kesungguhan PBT menguatkuasakan Undang-undang Kecil Pengiklanan yang menggariskan keutamaan bahasa kebangsaan pada papan iklan, nama perniagaan, nama tempat dan bangunan serta paparan lain.

Selain itu beliau berkata, rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu bersama-sama menjayakan Dasar Bahasa Kebangsaan untuk merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan.

"Tahun demi tahun saya perhatikan nilai bahasa kebangsaan berbeza-beza pada golongan tertentu sehinggakan hasrat kita untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan masih belum benar-benar berjaya.

"Saya menyeru semua warga negara tanpa mengira asal keturunan di negara ini supaya memberi nilai yang tinggi kepada bahasa kebangsaan dan sama-sama memajukan bahasa dan persuratan kebangsaan,"katanya.

Menurutnya, cabaran media baharu yang sebahagiannya cenderung untuk bebas daripada norma adab, akhlak dan bentuk bahasa yang tidak terkawal akan menjejaskan usaha kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang mewakili ilmu dan pemikiran jika dibiarkan sebebasnya.

"Bahasa kebangsaan tidak wajar dikorbankan menjadi bahasa pasar atau perhubungan sehari-hari semata-mata walaupun kita akui keperluan penggunaan bahasa untuk perhubungan biasa dalam kehidupan bermasyarakat,"katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bersama-sama menyumbang ke arah pemerkasaan bahasa kebangsaan sektor ekonomi.

"Selain mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan dan pemasaran, GLC juga dapat memainkan peranan dalam mengantarabangsakan bahasa kebangsaan melalui jenama atau label produk supaya masyarakat antarabangsa mengenali bahasa kebangsaan kita," katanya.

"Menerusi jumlah potensi pasaran negara berbahasa Melayu yang mencecah angka 300 juta, kita sebenarnya dapat melonjakkan nilai ekonomi bahasa Melayu, bermula dengan tumpuan di rantau ini,"katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementeriannya akan mengaudit semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memastikan mereka memperkasakan bahasa kebangsaan seperti yang digariskan dalam Pelan Memperkasakan Bahasa Kebangsaan di IPT.

Katanya, sehingga kini, enam IPTA sedang diaudit pihaknya dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu serta Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Selepasa ini, semua IPTA akan diaudit, antara (audit yang dilakukan) peratusan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai pengantar kuliah dan penegasan penghasilan karya ilmiah sebagai salah satu asas pengiktirafan untuk kemajuan kerjaya tenaga akademik.

"Insya Allah, program itu akan diperluaskan kepada Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi memastikan mereka tidak menyisihkan bahasa kebangsaan dalam proses pembelajaran dan pengajaran,"katanya.

Keterangan Gambar

MUHYIDDIN melancarkan Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:17 AM